mk-logo
Berita
Thailand, Malaysia anjur dialog damai Selatan peringkat tinggi pada Sept

Thailand dan Malaysia dijangka mengadakan rundingan damai peringkat tinggi mengenai situasi di wilayah sempadan selatan Thailand pada September, dengan kedua-dua pihak menyasarkan untuk mencapai persetujuan yang boleh membuka jalan kepada pengisytiharan bersama.

Penasihat Politik kepada Perdana Menteri Thailand, Wan Muhamad Noor Matha, yang juga penasihat kepada Delegasi Perwakilan Khas Kerajaan, berkata perbincangan awal sedang dijalankan oleh jawatankuasa kecil secara tertutup.

“Ada kira-kira dua lagi mesyuarat jawatankuasa kecil akan diadakan sebelum jawatankuasa induk bersidang di Malaysia pada September.

“Jika jawatankuasa induk mencapai persetujuan, kedua-dua pihak boleh menandatangani dokumen bersama dan mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan hasil dipersetujui," katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan di Bangkok pada Rabu.

Wan Muhamad Noor menzahirkan keyakinan dialog damai itu berjalan ke arah yang positif.

Mengenai garis masa dijangkakan untuk proses damai, beliau berkata hasil mesyuarat September akan memberikan petunjuk yang lebih jelas, sambil menambah bahawa beliau menjangkakan lebih banyak kemajuan berbanding pusingan rundingan sebelumnya.

Sementara itu, mengenai rancangan lawatan rasmi Perdana Menteri Anutin Charnvirakul yang juga Menteri Dalam Negeri ke Malaysia pada 9-10 Julai, Wan Muhamad Noor berkata lawatan itu bertujuan mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala dalam Asean.

Bagaimanapun, beliau berkata situasi keselamatan di wilayah sempadan selatan Thailand mungkin dibincangkan, walaupun ia tidak dijangka menjadi agenda utama lawatan itu.

“Kami menjangkakan Thailand meminta Malaysia meneruskan usaha ke arah mencapai keamanan mampan di wilayah sempadan selatan,” katanya.

Menjawab soalan mengenai keganasan yang berterusan di Selatan, Wan Muhamad Noor berkata pihak berkuasa masih menilai keadaan itu, sambil menyatakan bahawa walaupun insiden keganasan berlaku lebih kerap dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kesannya terhadap kehidupan orang ramai masih kecil.

Malaysia telah lama memainkan peranan sebagai fasilitator dalam dialog damai antara kerajaan Thailand dengan kumpulan pemberontak yang aktif di wilayah sempadan selatan negara itu iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkhla.

Pada Mei, Thailand melantik Thanat Suwannanont yang juga Pengarah Agensi Perisikan Kebangsaan (NIA), sebagai ketua perunding baharu Thailand untuk rundingan damai dengan kumpulan pemisah, Barisan Revolusi Nasional (BRN) manakala Fasilitator Malaysia Datuk Mohd Rabin Basir, bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, dilantik pada 1 Julai 2024.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS