KOLUM | Di kawasan pedalaman antara Parit Raja, Ayer Hitam dan Rengit, ada sebuah tempat bernama Kampung Parit Korea. Hanya ada sebuah rumah pekebun di situ. Jalan kampung itu baik dan mudah menghubungi bandar-bandar berdekatan walaupun jauh perjalanannya. Ia menyusuri parit seperti mana kebanyakan tempat di Johor terutama di Muar, Batu Pahat dan Pontian.
Bila ditanya mengapakah ia bernama Parit Korea, maka penduduk di situ memberitahu, pada suatu masa dahulu, ada seorang berbangsa Korea masuk ke hutan di situ dan hilang. Walaupun orang kampung mencari mereka, tetapi tidak ditemui.
Kawasan-kawasan di situ tentulah asalnya hutan dan ia dibuka antaranya oleh datuk dan moyang generasi penduduk yang ada sekarang. Datuk dan moyang ada menceritakan betapa malam-malam mereka terdengar ngauman “macan” (harimau dalam bahasa Jawa).
Pada mulanya mereka menanam kopi, iaitu dalam tahun 1920-an dan 1930an. Kemudian diganti dengan getah. Ada ketikanya, mereka tanam koko. Kemudian getah dan kini adalah kelapa sawit. Kehidupan rakyat adalah suatu perjuangan untuk mendapatkan makanan asas untuk diri dan keluarga.

Maka semua kawasan itu dipenuhi dengan kelapa sawit yang dijaga rapi dan kemas. Sementara di kiri dan kanan parit ditanam nenas. Pendapatan mereka bergantung pada harga minyak kelapa sawit dan nenas-nenas yang dijual sendiri di pekan, dan ada juga pemborong yang mengedar nenas ke tempat-tempat lain.
Rata-rata rumah pekebun-pekebun di sini adalah cantik dan tersusun. Tidak ada tanda kemiskinan. Ada kereta dan motosikal.
Ada seorang pekebun yang saya jumpa tahun lalu berusia 70an, sudah dikira bersara. Anak-anak sudah bekerja dan berkeluarga. Ada yang jadi juruteknik dan ahli farmasi. Beliau berasal dari Parit Raja. Pada tahun 1970an, lepas sekolah, beliau bekerja buruh binaan di Singapura dan kumpul duit.
Apabila pulang, beliau beli tanah pertanian, bina rumah dan berkebun, tanam kelapa sawit dan nenas. Umumnya hidup beliau senang. Kerajaan bina jalan yang baik. Dimasukkan bekalan air dan elektrik. Parit-parit sentiasa digali dan dijaga. Ada bantuan tanaman semula kelapa sawit. Anak-anak dapat bantuan pendidikan sekolah dan universiti.

Semua infrastruktur untuk rakyat mendatangkan kebaikan kepada kerajaan. Ia bukan keuntungan sebelah pihak. Ia adalah menang-menang. Selain daripada kerajaan dilihat sebagai “baik”, yang penting ialah kegiatan ekonomi yang bagus mendatangkan hasil pada negara dari segi percukaian dan perdagangan luar.
Ingatlah bahawa pada zaman kolonial dahulu. Usaha pentadbir kolonial membina laluan kereta api dan jalan raya adalah untuk mengangkut hasil bagi memperoleh pendapatan untuk mereka. Begitu juga apabila mereka membina hospital dan sekolah, ia adalah semata-mata untuk membekalkan pekerja bagi menggerakkan ekonomi dan selanjutnya mendatangkan pendapatan kepada Britain.
Siapakah yang membangun negeri? Rakyat atau kerajaan? Tentulah kerjasama dan kesepakatan antara kerajaan dan rakyat adalah penting untuk maju.
Setiap rakyat tentu memikirkan tentang kepentingan pendapatan diri dan keluarganya. Tentulah ia mahukan bukan saja kediaman selesa tetapi anak mempunyai peluang-peluang belajar tinggi dan bekerja yang baik.
Pendanaan kerajaan
Atas kerajinan rakyat itulah, baru negeri dan negara dapat membangun dengan penyediaan program-program ekonomi kerajaan. Sebenarnya kerajaan bukan “membantu” rakyat tetapi kerajaan memerlukan rakyat untuk kesenangan dirinya.
Contohnya, “bantuan” menanam semula kelapa sawit. Pendapatan negara amat bergantung pada penghasilan kelapa sawit. Ladang kelapa sawit tidak boleh diluaskan lagi kerana hutan yang ada perlu disimpan sedangkan banyak bahagian ladang sudah dijadikan bandar.
Maka penghasilan pekebun kecil amat penting. Tetapi hasil kelapa sawit merosot kerana pokok-pokok kelapa sawit sudah tua. Di sinilah program pendanaan perlu dari kerajaan. Ia bukan “bantuan” tetapi satu langkah perlu pihak kerajaan untuk mempertahankan pengeluaran minyak sawit.
Kalau seseorang melalui lebuh raya utara selatan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru, seseorang akan dapat melihat berekar-ekar ladang kelapa sawit. Ladang ini dimiliki oleh syarikat korporat. Pekerjanya terdiri daripada rakyat tempatan dan pekerja asing.

Tetapi bagi pekebun kecil, mereka terdiri daripada rakyat negara ini. Dalam konteks negeri, rakyat Johor adalah mereka yang merupakan warga negara Malaysia yang menjadi penduduk negeri ini. Tetapi mereka tidak semestinya lahir dan membesar di Johor.
Maka Johor adalah negeri kosmopolitan, dalam erti kata ia adalah negeri berbilang kaum dan bangsa yang membawa budaya masing-masing seperti juga Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Melaka.
Bangsa di sini bermaksud rakyat dari negara lain. Dari segi penduduk, bukan saja ada rakyat Malaysia tetapi juga pekerja-pekerja asing seperti dari Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan Nepal.
Mereka bukan saja bekerja di kawasan-kawasan perindustrian di Johor Bahru seperti di Pasir Gudang dan Pengerang tetapi juga di ladang-ladang getah, dari Batu Pahat, Segamat sampailah Mersing. Saya ada lihat pekerja ladang Indonesia yang selesa hidup di Mersing dengan memaparkan hidupnya dan membuat video YouTube.

Begitu juga saya pernah lihat pada waktu petang, pekerja-pekerja kilang tekstil di Batu Pahat dari Vietnam duduk-duduk di kawasan rumput tepi jalan berehat dan berkelah, sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh penduduk asal tempatan.
Kemudian ada rakyat Singapura dan China yang menjadi penduduk Johor. Mereka bukanlah penduduk tetap tetapi Johor menjadi “kediaman kedua” (second home) apabila mereka membeli rumah di Johor Bahru dan pulau Forest City.
Ada rakyat Singapura itu berulang alik ke negara mereka setiap hari. Mereka membeli rumah di Johor Bahru dan bekerja atau belajar di negara mereka.
Hubungan Johor dan Singapura amat rapat bukan saja dari segi sejarah yang mana Singapura dan Johor adalah sebahagian daripada wilayah Johor-Riau.

Pada satu ketika dahulu apabila disebut Malaya, maka ia turut meliputi Singapura. Bukan saja Universiti Malaya dan Radio Malaya bermula di Singapura. Pusat kebudayaan, kesenian, muzik, perfileman, hiburan, kesusasteraan dan kewartawanan Melayu berpusat di Singapura pada tahun 1930an ke 1950an, iaitu sebelum pemisahan Singapura. Sudah tentu pada masa itu, bagi orang Johor, Singapura dan bukannya Kuala Lumpur merupakan kota utama mereka.
Kini hubungan Johor dan Singapura adalah lebih berbentuk ekonomi. Zon Ekonomi Khas Singapura-Johor (SJ-SEZ) meliputi enam daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Iskandar Puteri dan Pasir Gudang.
Walaupun terdapat penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa, apa yang disebut sebagai “rakyat Johor” adalah warga negara Malaysia yang tinggal di Johor dan juga pengundi-pengundi negeri ini.
Jadi sesiapa saja warga negara Malaysia yang tinggal di Johor adalah rakyat Johor walaupun ia lahir atau berasal dari tempat lain. Maka terdapat banyak rakyat Johor yang berasal dari negeri-negeri lain di Malaysia, sama ada dari Kelantan atau Sabah.

Mereka mencari rezeki di negeri ini. Mereka dapat perkhidmatan kesihatan di Johor. Anak-anak mereka bersekolah di Johor, menyanyi lagu negeri setiap minggu. Mereka juga pergi surau, masjid dan dikebumikan di pusara Johor. Mereka ini adalah rakyat Johor walaupun kampung halaman mereka di negeri lain. Walaupun mereka menjadi pengundi di negeri lain, tetapi mereka tetap adalah rakyat Johor.
Satu lagi kategori rakyat Johor ialah mereka ini pengundi berdaftar di negeri ini tetapi tidak tinggal atau berada di sini.
Umpamanya rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura dan Australia tetapi pengundi di Johor. Mungkin kampung halaman mereka adalah di Johor. Mereka akan turut mengundi sama ada balik atau secara pos yang akan memberi kesan kepada keputusan PRN dan PRU.
Pertama kali rakyat Johor menjadi pengundi ialah dalam Pilihan Raya tahun 1953. Ia diikuti dengan pilihan raya pada tahun 1955. Ketika itu kerakyatan berasaskan pada warga Persekutuan Tanah Melayu yang belum merdeka.

Sijil-sijil kerakyatan dikeluarkan oleh kerajaan bagi yang layak. Pada 31 Ogos 1957, mereka menjadi warga negara Malaya dan pada 16 September 1963, mereka muncul sebagai warga negara Malaysia.
Tetapi asal-usul banyak daripada rakyat Johor adalah datang dari pelbagai tempat di luar Malaya pada tahun 1900an hinggalah 1960an. Ada yang dari Guangdong, Hainan, Fujian dan lain-lain di Empayar China. Ada yang datang dari Tamil Nadu, Kerala, Punjab dan lain-lain di India British. Begitu juga ada yang datang dari Sumatera, Jawa, Kalimantan dan Sulawesi di Hindia Timur Belanda (sebelum adanya Indonesia).
Mereka menyeberang laut untuk mencari rezeki yang lebih baik kerana di kampung halaman sudah tidak dapat menampung kehidupan. Mereka hanya mahu menyara hidup dan membina keluarga. Penanaman lada putih, pinang, kopi, kelapa, koko dan getah membolehkan mereka terus hidup dan membina keluarga.
Dengan usaha mereka itu, negeri pun turut membangun baik pada masa zaman kolonial dan juga merdeka. Masa depan ekonomi anak cucu mereka bergantung pada sumbangan generasi sedia ada untuk memandang ke depan dan membawa sumbangan pembangunan kepada negeri Johor dan negara Malaysia.
ZIN MAHMUD wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
