Perhimpunan aman sokong Hindraf di London
Kempen di peringkat antarabangsa untuk membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA, diteruskan dengan mengadakan perhimpunan aman di London pada 1 Februari lalu.
Lebih 200 orang dari seluruh United Kingdom berhimpun di hadapan kediaman rasmi Perdana Menteri Britain di No 10 Downing Street, sambil membawa pelekat yang menyatakan sokongan mereka kepada Hindraf dan pemimpinnya yang sedang ditahan.
Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang kini berlindung di London, turut menyertai perhimpunan tersebut serta berucap mengenai perjuangan Hindraf. Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh HindrafUK.
Kempen di peringkat antarabangsa untuk membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA, diteruskan dengan mengadakan perhimpunan aman di London pada 1 Februari lalu.
Lebih 200 orang dari seluruh United Kingdom berhimpun di hadapan kediaman rasmi Perdana Menteri Britain di No 10 Downing Street, sambil membawa pelekat yang menyatakan sokongan mereka kepada Hindraf dan pemimpinnya yang sedang ditahan.
Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang kini berlindung di London, turut menyertai perhimpunan tersebut serta berucap mengenai perjuangan Hindraf. Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh HindrafUK.
Penganjurnya, Rajah Thavalou berkata, jumlah mereka yang hadir menyertai perhimpunan tersebut melebihi jangkaannya.
"Ia berjaya diadakan dan kami telah mendapat sambutan yang baik dari media antarabangsa," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Rajah lagi, delegasi seramai enam orang kemudiannya dibenar mengemukakan petisyen kepada kerajaan British.
Mereka juga mengemukakan petisyen yang sama - yang sebelum ini diserahkan kepada presiden dan perdana menteri India, dan ketua menteri Kerala serta Tamil Nadu - kepada Suruhanjaya Tinggi India di London.
Katanya, tuntutan mereka termasuk pembebasan segera P Uthayakumar, M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan T Vasanthakumar yang ditahan di bawah ISA pada 13 Disember kerana didakwa menjadi ancaman kepada negara.
Kenakan sekatan
Mereka juga menggesa kerajaan British dan India supaya menggenakan sekatan terhadap Malaysia.
"Dan khususnya di India, kita mahu kerajaan negeri Karala menarik balik penyertaannya dalam cadangan projek perbandaran bernilai RM1.5 bilion dengan kerajaan dan syarikat-syarikat Malaysia," tambahnya.
Menurut Rajah lagi, mereka yang menyertai perhimpunan tersebut juga mahu kerajaan Malaysia memberi hak yang sama rata kepada rakyat India Malaysia dan berhenti merobohkan kuil-kuil Hindu.
Sebelum ini, sebagai sebahagian daripada kempen antarabangsa Hindraf, pergerakan itu telah menganjurkan perhimpunan bantahan secara aman di Kanada dan India.
Ketika dihubungi, Waythamoorthy berkata, beliau gembira kerana masyarakat India di peringkat antarabangsa turut menyokong 'saudara' mereka di Malaysia.
Katanya, beliau juga gembira mendengar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengakui wujudnya masalah dan ketidakpuasan masyarakat India di Malaysia.
"Tetapi yang anehnya, Perdana Menteri telah menahan lima pembawa kebenaran. Ia tidak masuk di akal, bila beliau mengakui kebenaran mengenai apa yang dihadapi oleh masyarakat India Malaysia, tetapi beliau juga merasakan wajar untuk menahan lima orang yang menyampaikan mesej tersebut," katanya.
Waythamoorthy menambah, jika Abdullah benar-benar ikhlas dengan niatnya untuk memperbaiki keadaan sosial, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan masyarakat India, maka sewajarnyalah beliau membebaskan pemimpin Hindraf berkenaan.
"Penahanan berterusan mereka tidak akan meyakinkan masyarakat India bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) benar-benar ikhlas untuk menangani masalah yang dihadapi oleh mereka," katanya.
Usul di Parlimen Scottish
Waythamoorthy juga memberitahu, sebagai sebahagian daripada kempen peringkat antarabangsa bagi mendapatkan sokongan untuk Hindraf, beliau telah berjaya mendapatkan bantuan seorang ahli Parlimen Scotland untuk mengemukakan satu usul di Parlimen negara itu.
Berikutan itu, satu usul telah dikemukakan di Parlimen Scotland semalam oleh Ahli Parlimen Konservatif bagi Highlands and Islands, Jamie McGrigor, meminta kerajaan British membuat representasi kepada kerajaan Malaysia supaya membebaskan lima pemimpin Hindraf tersebut.
Jamie berkata beliau memandang berat kelima-lima pemimpin Hindraf itu ditahan tanpa dibicarakan di mahkamah.
Jamie menegaskan bahawa "penahanan mereka itu adalah kemuncak kepada tindakan-tindakan lain yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk menyekat hak asasi manusia bagi masyarakat minoriti India di Malaysia, termasuk kebebasan untuk beragama".
Kerajaan Malaysia mengambil tindakan terhadap pemimpin Hindraf selepas pergerakan itu menganjurkan satu perhimpunan di Kuala Lumpur pada 25 November tahun lalu, yang disertai oleh kira-kira 30,000 masyarakat India yang membantah peminggiran dan diskriminasi terhadap mereka.
Berikutan itu, kerajaan mengambil tindakan mendakwa pemimpin Hindraf di mahkamah atas tuduhan menghasut dan akhirnya menahan lima daripada mereka di bawah ISA.
Waythamoorthy terlepas apabila beliau berlepas ke India dan kemudiannya ke Britain, untuk mendapatkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap pergerakan tersebut.

