mk-logo
Berita

PRN JOHOR | Parti Wawasan Negara (Wawasan) sedang menyusun program kempen dalam usaha mereka membantu calon-calon PAS menjelang hari mengundi pada 11 Julai nanti.

Ketua penerangannya Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata bagaimanapun setakat ini belum diputuskan kaedah dan kawasan yang disasarkan oleh parti tersebut.

“Ada (perancangan) tapi belum diputuskan di mana dan bagaimana (kaedah).

“Tetapi pastinya kami sokong PAS,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Wawasan merupakan salah satu parti baru yang diterima menjadi komponen PN selepas cubaan awal mereka sebelumnya mendapat tentangan daripada Bersatu.

Parti yang dijenamakan semula daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) itu dipimpin bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, yang dilihat rapat dengan PAS, khususnya presiden parti itu, Abdul Hadi Awang.

Untuk PRN Johor ini, Wawasan tidak terlibat secara langsung dalam persaingan merebut kerusi DUN negeri tersebut.

PAS pula bertanding di 11 kerusi, Bersatu 16, Parti Rakyat India Malaysia lima dan satu untuk Pejuang menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang ditandingi PN sebanyak 33.

DUN Johor pula mempunyai 56 kerusi secara keseluruhan.

Sebelum ini PAS mengarahkan ahli dan penyokongnya memberikan undi kepada calon BN bagi mana-mana kerusi yang tidak ditandingi parti itu dalam usaha mereka memastikan PH kalah.

Arahan tersebut dilihat secara tidak langsung boleh menjejaskan peluang parti lain - termasuk Bersatu - untuk melakar kemenangan.

Sementara itu seorang pemimpin Wawasan Johor, Zulkifli Bujang, memaklumkan setakat ini pihaknya turun berkempen secara tidak langsung di negeri tersebut.

"Tetapi turun akan tetap turun (membantu kempen),” katanya sambil memaklumkan program Himpunan Reset Negeri Johor akan berlangsung di Johor Bahru pada Ahad ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS