PARLIMEN | Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan keberadaan balu Allahyarham Daim Zainuddin, Na'imah Abdul Khalid, dan anak-anaknya yang dipercayai berada di benua Eropah bagi membantu melengkapkan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan maklumat risikan dan semakan awal, mereka dipercayai berada di luar negara.
“Pada peringkat ini, PDRM sedang dalam usaha aktif untuk mengesan kedudukan balu Allahyarham, iaitu Toh Puan Na'imah bersama anak-anaknya bagi membantu melengkapkan siasatan polis yang sedang berjalan.
“Berdasarkan maklumat risikan dan semakan awal pihak berkuasa, subjek-subjek berkenaan dipercayai berada di luar negara, khususnya di benua Eropah,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang parlimen semalam.
Saifuddin berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu jika ahli keluarga Daim sedang diburu polis kerana berada di luar negara serta usaha kerajaan untuk membawa mereka pulang.
Katanya PDRM melalui Bahagian Hubungan Antarabangsa dan Biro Pusat Nasional Interpol Kuala Lumpur sedang bekerjasama rapat bagi mengesan lokasi sebenar mereka sebagai sebahagian daripada usaha membawa mereka kembali ke Malaysia.
“Kerajaan ingin menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil oleh PDRM berlandaskan kedaulatan undang-undang tanpa prejudis atau agenda terpilih … dilakukan demi memastikan keselamatan dan perundangan negara sentiasa dipelihara,” katanya.
Saifuddin berkata PDRM telah membuka satu kertas siasatan terkait Laporan Polis Sentul 4034/26 yang sedang disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Pada 26 Mei lalu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar mengesahkan Na'imah bersama anak lelakinya, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin, berada di luar negara sejak siasatan berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan dimulakan pada awal tahun ini.
Setakat ini, polis merakamkan percakapan 17 individu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
- Bernama
