mk-logo
Berita
PH lancar manifesto PRN 'Johor Untuk Semua'
Diterbitkan:  Jul 3, 2026 3:18 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Pakatan Harapan (PH) hari ini melancarkan manifesto ‘Johor Untuk Semua’ sebagai tawaran gabungan itu kepada pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pelancaran manifesto berkenaan disempurnakan Ahli Majlis Presiden PH Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching, Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta calon-calon gabungan itu yang akan bertanding pada PRN berkenaan.

​Tawaran tersebut dibentangkan secara bersama oleh calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik, calon PH DUN Larkin Suhaizan Kayat dan calon PH Stulang Andrew Chen.

Antara teras utama tawaran berkenaan ialah Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan hingga RM100,000 setahun bagi golongan B40, M40, dan Orang Kurang Upaya (OKU), selain menghidupkan semula Kad Sihat Johor dengan sasaran 500,000 orang akan mendapat manfaat.

Bagi tawaran perumahan, sebanyak 80,000 unit Rumah Mampu Milik akan dibina dalam tempoh lima tahun dengan sasaran 16,000 unit setahun selain mempergiat projek Rumah Generasi Kedua FELDA dengan keutamaan kepada keluarga muda dan pekerja tempatan.

Selain itu, bantuan deposit sebanyak RM8,000 bagi pemilikan rumah pertama melalui skim sewa milik (rent-to-own) juga akan disediakan dengan sasaran 50,000 keluarga muda akan menerima manfaat.

PH juga menawarkan peruntukan dana berjumlah RM500 juta bagi memperkasakan pembangunan generasi muda di negeri ini sebagai sebahagian daripada tawaran utama dalam manifesto 'Johor Untuk Semua'.

Menerusi Dana Anak Muda Johor itu, PH menyasarkan untuk memberikan manfaat kepada sekurang-kurangnya 50,000 keluarga muda di seluruh negeri menerusi pelbagai program sokongan dan pembangunan ekonomi.

Dana terbesar untuk pembangunan generasi muda Johor itu merangkumi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Premium Johor, Dana Usahawan Muda, latihan Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan digital serta tuisyen percuma bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada keluarga B40.

Dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan, sasaran ditetapkan agar 100 peratus sekolah di Johor mendapat akses Internet gigabit, makmal AI serta robotik di semua daerah menjelang 2030, dengan penglibatan 50,000 pelajar setiap tahun.

Selain itu, perpustakaan digital dan pusat pembelajaran moden juga akan diwujudkan di setiap daerah menerusi kerjasama strategik antara sekolah, TVET, institut pengajian tinggi (IPT) dan industri.

Bagi menyokong ekosistem perniagaan tempatan, dana sebanyak RM1 bilion disediakan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta usahawan Johor bagi mendigitalkan 20,000 perniagaan serta mewujudkan 10,000 usahawan baharu dalam pasaran ASEAN.

PH turut menggariskan komitmen untuk memperkasakan Johor sebagai pengeluar utama agromakanan negara melalui pemodenan rantaian nilai dan transformasi industri hiliran.

Tawaran itu antara lain memberikan tumpuan kepada pemerkasaan potensi komoditi bernilai tinggi tempatan, khususnya bagi industri durian dan nanas, selain bertekad mengekalkan serta menambah kawasan pertanian kekal dan meningkatkan pengeluaran makanan di Johor.

Pakatan Harapan juga bertekad untuk memacu Johor sebagai pusat industri bernilai tinggi dengan memastikan pembangunan menyeluruh merentasi setiap daerah sebagai enjin penggerak ekonomi Johor.

Antara industri yang diberi penekanan termasuklah pembuatan perabot, ekosistem ekonomi kreatif, industri berteknologi tinggi serta sektor minyak dan gas, sektor pelancongan serta pertanian moden, perikanan dan penghasilan makanan.

Pakatan Harapan turut menawarkan komitmen untuk mengurangkan masa menunggu bagi urusan rentas sempadan Malaysia–Singapura sebanyak 50 peratus menerusi Agenda Johor–Singapura yang digariskan dalam manifestonya.

Matlamat itu akan dicapai menerusi integrasi menyeluruh sistem pengangkutan negeri yang menggabungkan rangkaian Sistem Transit Aliran Ringan (RTS), Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) serta inisiatif Bas.My.

Manifesto 'Johor Untuk Semua' itu turut mencadangkan penyediaan laluan khas bagi pekerja rentas sempadan, pelaksanaan Sistem Mobiliti Pintar Johor selain meningkatkan ketersambungan, rangkaian bas perantara ke RTS dari Skudai, Kulai, Kempas dan Pasir Gudang.

Dalam tawaran itu, PH turut menyasarkan pewujudan 250,000 peluang pekerjaan baharu yang bergaji tinggi dan bermaruah di Johor melalui pemerkasaan pelbagai sektor ekonomi moden dan industri bernilai tinggi.

PH dalam manifestonya menyatakan bahawa sasaran tersebut bakal dicapai melalui pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ), selain memfokuskan bidang AI, ekonomi digital, logistik pintar serta teknologi hijau.

Bagi memastikan peningkatan taraf hidup rakyat, PH bertekad menyediakan 50,000 peluang pekerjaan setiap tahun, selain berusaha meningkatkan kadar gaji median di Johor sekurang-kurangnya 30 peratus.

"PH juga akan melaksanakan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) melibatkan 10,000 pekerja di negeri ini dengan menumpukan bidang AI, pangkalan data, automasi, pembuatan, pertanian moden serta penghasilan makanan," menurut manifesto itu.

Sementara itu, lima inisiatif "Pencetus Perubahan Johor" turut diperkenalkan merangkumi penubuhan 250 Taska Madani dan Taska Tempat Kerja bagi membantu wanita kembali ke pasaran kerja, serta pengenalan Pas Pengangkutan Awam RM50 sebulan untuk pelajar, warga emas dan OKU.

Inisiatif lain melibatkan penubuhan Tribunal Hak Tanah Johor bagi mempercepat penyelesaian kes tertunggak, dan pemberian Bonus Anak Johor sebanyak RM1,000 untuk setiap bayi yang lahir di negeri itu.

Program Balik Johor juga diperkenalkan untuk membawa pulang 20,000 profesional Johor dari Singapura dan luar negara menjelang 2031 dengan menawarkan insentif pekerjaan serta keusahawanan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS