PRN JOHOR | Bekas Adun Rengit, Mohd Puad Zarkashi yang keluar dari Umno hari ini mengumumkan sokongan terbuka kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri.
Sokongan bekas speaker DUN Johor itu diumumkan menerusi poster kempen yang dimuat naik di Facebooknya, ketika bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu kini tidak lagi bersama parti berkenaan.
Melalui poster itu, Puad berkata pilihannya kali ini dibuat berdasarkan peribadi calon, bukan lagi atas faktor parti.
"Sekarang saya tidak berparti. Saya pilih calon kerana peribadi calon. Justeru saya pilih saudara Yazid kerana...," katanya.

Puad kemudian menyenaraikan lima alasan menyokong Mohamad Yazid, antaranya calon itu merupakan anak jati Rengit, menetap di kawasan berkenaan, mempunyai rumah di Rengit serta menjadi pengerusi sebuah surau di kawasan itu.
Poster berkenaan turut membawa slogan "Orang Rengit Jaga Rengit", selain memaparkan nombor calon dan lambang PH bagi menggesa pengundi memberikan sokongan kepada Mohamad Yazid.
Langkah Puad itu menambah warna kepada saingan di Rengit selepas dia sebelum ini mengumumkan keluar daripada Umno berkuat kuasa serta-merta.
Puad mendakwa Umno tidak lagi bebas membuat keputusan dan ‘dikawal’ pihak istana.
Puad: ‘Calon BN caca-marba’
Umno pula sebelum ini mendakwa tindakan Puad keluar parti ada kaitan dengan tuntutan peribadinya supaya anaknya dicalonkan menggantikan dia di Rengit tidak dipenuhi kepimpinan parti.
Kerusi N25 DUN Rengit menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamed Yazid Bakri dari PH-Amanah, Syed Mohamad Syed Alwi dari PN-Bersatu dan Zaidi Japar dari BN-Umno, dengan jumlah pemilih berdaftar seramai 27,608 orang.
Terdahulu, Puad turut mengkritik senarai calon BN dan Umno pada PRN Johor kali ini, dengan mendakwa parti itu menampilkan ramai calon “caca-marba dan kitar semula” serta gagal mencerminkan aspirasi anak muda.

Dalam kenyataan selepas proses penamaan calon selesai, Puad berkata senarai calon Umno gagal memenuhi tuntutan generasi baru dalam parti tersebut.
Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menegaskan parti itu bukan milik "anak beranak" susulan dakwaan Puad yang tidak berpuas hati terhadap pemilihan calon.
Akmal berkata dakwaan Puad bahawa Umno Johor tidak lagi memenuhi aspirasi golongan muda adalah tidak berasas, memandangkan ramai calon muda diketengahkan BN pada PRN Johor kali ini.
Bagaimanapun, Puad mempersoalkan keputusan Umno menampilkan semula beberapa nama lama, termasuk Abdul Halim Suleiman di Tiram, Dr Adham Baba, Samsolbari Jamali, Alwiyah Talib, Azhar Ibrahim, Zaidi Jaafar dan Youzaimi Yusof.

Menurut Puad, sebahagian calon terbabit pernah kalah dalam pilihan raya sebelum ini, selain ada yang sudah lama menjadi wakil rakyat atau baru menyertai semula Umno.
Dalam reaksi balas, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin mempertahankan keputusan BN menampilkan gabungan calon berpengalaman dan muka baru pada PRN Johor.
Menurut Khaled, pendekatan itu paling sesuai dalam suasana politik dan pentadbiran yang semakin mencabar.
Dia berkata dakwaan bahawa BN terlalu banyak mengetengahkan calon “kitar semula” tidak wajar dilihat secara mudah, sebaliknya perlu difahami dalam konteks keperluan memastikan kesinambungan kepimpinan serta pengalaman dalam mentadbir negeri.
Khaled turut berkata menurunkan semua calon baru dalam pilihan raya kali ini boleh menjadi langkah berisiko kerana kerajaan negeri memerlukan barisan pemimpin yang mampu terus bekerja sebaik diberi mandat.
