mk-logo
Berita
PRN Johor: PAS arah ahli undi calon MCA, MIC
Diterbitkan:  Jul 4, 2026 5:37 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

PAS mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi calon bukan Melayu daripada MCA dan MIC pada PRN Johor, sebagai sebahagian strategi mengekang peluang PH, khususnya DAP, daripada membentuk kerajaan negeri.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik Utusan Malaysia berkata arahan mengundi calon BN di kawasan yang tidak ditandingi PN turut terpakai kepada calon bukan Melayu daripada komponen BN.

“Bila kita tidak bertanding di semua kerusi, kena ada satu pengarahan yang jelas bagi mengelak PH menang di PRN Johor yang membuka pintu kepada DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Jadi, kita beri undi kepada BN di kerusi yang ditandingi calon-calon bukan Melayu. Keutamaan kita adalah mengelak DAP menguasai kawasan itu,” katanya.

Kenyataan itu menyusul arahan PAS pada 28 Jun lalu supaya ahli dan penyokong parti itu mengundi calon Umno-BN di DUN yang tidak ditandingi PN.

Harap penyokong BN undi calon PAS di 11 DUN

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata dia berharap penyokong BN dapat memberikan sokongan dan undi kepada calon PAS di 11 kerusi DUN yang ditandingi parti itu.

Menurutnya, ia sebagai timbal balas arahan PAS kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon Umno dan BN bagi kerusi yang tidak ditandingi PN.

“Apa salahnya di 11 DUN PAS bertanding, rakan-rakan kita yang lain (BN) beri undi kepada PAS untuk kami mewakili PN dalam konteks menjadi semak imbang terbaik. Paling penting bagi mengelak PH memenangi PRN Johor,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Tuan Ibrahim juga dilaporkan berkata PAS setakat ini sudah menerima sokongan daripada sebahagian ahli Umno di 11 kerusi DUN yang ditandinginya.

"Ada yang datang berjumpa menyatakan sokongan dan kita mengharapkan ia dapat diterjemahkan kepada kertas undi pada hari pengundian nanti,” katanya lagi.

Arahan PAS itu mencetuskan persoalan baru dalam kempen PRN Johor, terutama apabila BN bergerak solo di semua 56 kerusi manakala PH yang menjadi sekutu BN di peringkat persekutuan turut bertanding di semua kerusi.

Di pihak PN, PAS bertanding di 11 kerusi, Bersatu di 16 kerusi, MIPP lima kerusi dan Pejuang satu kerusi.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula sebelum ini menegaskan jentera parti itu tidak akan digerakkan bagi membantu kempen Bersatu.

Umno sebelum ini menyambut baik arahan PAS itu, dengan Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkannya sebagai sokongan strategik kepada BN di Johor.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan pula berharap sokongan PAS tidak hanya tertumpu di kawasan yang tidak ditandingi parti itu, tetapi turut meliputi kerusi yang ditandingi Bersatu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh melihat arahan itu sebagai petanda perpecahan dalaman PN dan mendakwa ia akhirnya memberi kelebihan kepada PH.

Untuk membentuk kerajaan dalam DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi, mana-mana parti atau gabungan perlu memenangi sekurang-kurangnya 29 kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS