DAP: Siapa patut pilih Ketua Menteri - Umno atau Gerakan?
DAP menyifatkan ketidakmampuan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon untuk memutuskan bakal penggantinya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru dan mengemukakan tiga nama untuk dipilih oleh Perdana Menteri, adalah mengecewakan bukan sahaja para pengundi di Pulau Pinang tetapi juga Gerakan.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, Dr Koh (foto) telah tertekan apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan memutuskan bagi pihak Ketua Menteri Pulau Pinang itu jika beliau (Dr Koh) tidak dapat memutuskan sama ada bertanding kerusi negeri atau Parlimen.
"Beberapa jam kemudiannya, Dr Koh tidak mempunyai pilihan kecuali mengumumkan lebih awal bahawa beliau akan bertanding kerusi Parlimen dan melepaskan jawatan Ketua Menteri," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

"Apa yang mengecewakan - bukan sahaja pengundi di Pulau Pinang tetapi juga Gerakan - ialah Dr Koh tidak dapat memutuskan siapakan bakal penggantinya tetapi terpaksa menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk memilih antara tiga nama yang dikemukakannya.
"Maka jelas sekali bahawa Umno, bukan Gerakan atau pengundi Pulau Pinang, yang memutuskan siapakan yang bakal menjadi Ketua Menteri yang baru," tambah Lim (foto).
Sepatutnya, tegas beliau, Gerakan yang mempunyai hak tunggal untuk memutuskannya dengan mengemukakan satu nama sahaja untuk pengesahan Perdana Menteri.
"Jika tiga nama yang dicadangkan, maka ia sepatutnya dikemukakan kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Gerakan untuk diluluskan dan bukannya kepada Umno," kata Lim lagi.
'Dominasi Umno'
Katanya, dengan menyerahkan hak tersebut kepada Umno dan Perdana Menteri, maka jelas sekali bahawa Ketua Menteri yang baru nanti, adalah pilihan Umno.
Beliau mendakwa, keputusan Umno berhubung pemilihan Ketua Menteri Pulau Pinang hanya mendedahkan dominasi politik yang tidak sihat oleh Umno.
Sehubungan itu Lim berkata, pilihanraya umum yang akan datang adalah satu perjuangan yang sukar bagi DAP di Pulau Pinang kerana ia bukan sahaja bakal berdepan dengan MCA atau Gerakan tetapi juga dengan kekuatan Umno.
"Satu undi untuk MCA atau Gerakan atau MIC adalah bersamaan dengan satu undi untuk Umno. Pengundi di Pulau Pinang mesti bertanya sama ada bolehkah diterima Umno yang memilih Ketua Menteri Pulau Pinang dan bukannya Gerakan.
"Bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru diputuskan bukan oleh Gerakan, tetapi oleh Umno, menandakan satu perjuangan di Pulau Pinang antara penerusan dominasi politik Umno dengan menyokong sekutunya dalam MCA dan Gerakan atau mengurangkan dominasi politik Umno bagi memastikan pengekalan demokrasi.
"Cabaran untuk pengundi Pulau Pinang ialah sama ada mereka bersedia untuk mencabar dasar-dasar memecahbelah dan diskriminasi Umno, supaya Umno tahu bahawa pengundi di Pulau Pinang akhirnya telah memutuskan siapakan pemimpin mereka," katanya.