mk-logo
Berita
Amukan dua gol Haaland musnahkan impian Brazil
Diterbitkan:  Jul 6, 2026 11:58 AM
Dikemaskini: 3:58 AM

Menyempurnakan peluang sememangnya kepakaran Erling Haaland. Awal pagi ini, kualiti itu sudah cukup untuk memberikan Norway kemenangan terbesar mereka dalam sejarah Piala Dunia.

Haaland melonjak untuk menanduk masuk gol pada minit ke-79 dan menambah gol kedua pada minit ke-90 ketika Norway mengejutkan Brazil 2-1 untuk mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah, sekali gus menyingkirkan juara lima kali itu.

Reuters melaporkan walaupun dikawal ketat sepanjang sebahagian besar perlawanan pusingan 16 terakhir itu, gol keenam dan ketujuh Haaland dalam kejohanan ini menyebabkan Brazil tersingkir paling awal sejak kali terakhir dimalukan di pusingan 16 terakhir pada 1990.

Dia kini berkongsi kedudukan dengan pemain Argentina, Lionel Messi dan pemain Perancis, Kylian Mbappe sebagai penjaring terbanyak kejohanan.

"Maksud saya, ia seperti perkara biasa," kata penyerang tengah berusia 25 tahun bertubuh sasa itu melalui seorang penterjemah. "Jika saya mendapat satu atau dua peluang, selalunya saya akan menjaringkan gol.

“Saya tidak pasti sangat, tetapi inilah yang saya lakukan. Ia adalah tentang kekal fokus dan mengambil peluang yang ada. Dan biasanya saya akan mendapat peluang itu walaupun tidak menjaringkan gol pada percubaan pertama."

Penjaga gol Norway, Orjan Nyland melakukan empat tindakan menyelamat, termasuk menepis sepakan penalti Bruno Guimaraes pada minit ke-14. Pemain berusia 34 tahun, Neymar menyempurnakan satu lagi sepakan penalti pada penghujung masa tambahan babak kedua, yang diumumkannya selepas perlawanan sebagai penampilan terakhirnya bersama Brazil.

Norway kini bakal menentang England dalam aksi suku akhir di Miami Gardens, Florida pada 11 Julai selepas pasukan Three Lions itu menewaskan Mexico 3-2 kemudiannya sebentar tadi.

"Saya tidak pernah memikirkannya," kata pengurus Norway, Stale Solbakken mengenai kejayaan mara ke peringkat ini.

"Saya cuma berfikir bahawa kami perlu melepasi peringkat kumpulan. Dan kemudian, sudah tentu, ia adalah tentang perlawanan seterusnya, dan kali ini adalah Brazil.

"Saya memberitahu pemain bahawa mungkin kami tidak mempunyai peluang 50-50 hari ini, tetapi jika kami boleh bermain pada tahap terbaik, kami akan mempunyai peluang 50-50 itu."

Keputusan tersebut mengekalkan salah satu keunikan dalam sejarah Piala Dunia, iaitu rekod sempurna 2-0-0 negara Nordik itu menentang Selecao dalam pertandingan tersebut. Satu lagi kemenangan pada 1998, yang juga menyaksikan kemenangan 2-1 buat Norway, berlaku dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan selepas Brazil sudah mengesahkan slot ke pusingan kalah mati.

Gol pertama Haaland hadir selepas tempoh masa yang panjang yang menyaksikan skuad bimbingan Carlo Ancelotti kelihatan lebih berpeluang untuk menjaringkan gol.

Hanya beberapa saat selepas dimasukkan ke dalam padang, pemain berusia 19 tahun, Endrick melepaskan peluang terbaik Brazil apabila langkahnya tidak menjadi lalu merembat tersasar selepas menerima hantaran jauh yang cantik daripada Vinicius Junior pada minit ke-59.

Nyland turut menghalang percubaan Rayan dan Guimaraes selepas rehat sebelum Norway mengubah skrip perlawanan dalam tempoh 15 minit terakhir, sekali gus memastikan kemarau kejuaraan Piala Dunia Brazil berpanjangan kepada sekurang-kurangnya 28 tahun.

"Jelas sekali, semua orang sangat kecewa dengan apa yang berlaku," kata Ancelotti, yang mengambil alih pasukan pada penghujung musim bunga 2025.

"Kempen Piala Dunia kami tidaklah terlalu hebat, tetapi ia baik, malah kami selayaknya memenangi perlawanan ini pada beberapa ketika hari ini."

Kurang lima minit selepas Andreas Schjelderup memaksa Alisson melakukan tindakan menyelamat pada minit ke-75, dia menemui Haaland melalui hantaran lintang tinggi dari sebelah kiri. Haaland melonjak mengatasi Gabriel Magalhaes dan menanduk bola ke bawah melepasi jangkauan Alisson.

Gandingan yang sama bergabung sekali lagi 11 minit kemudian untuk mengesahkan kemenangan. Schjelderup memberikan hantaran lintang rendah dari sebelah kiri, dan Haaland mengawal bola sebelum melepaskan rembatan leret kaki kanan ke penjuru bawah kanan gol.

Selepas itu, dia diberi penghormatan untuk mengetuai segelintir penyokong Norway di dalam stadium dalam sambutan "Viking Row" yang kini terkenal, dan dia sempat memberikan pesanan buat rakyat negaranya di seberang Atlantik.

"Semua orang hanya perlu bergembira," kata pemain Manchester City itu.

"Ini adalah hari yang luar biasa. Seperti yang saya katakan, ini adalah salah satu hari paling luar biasa dalam sejarah Norway. Nikmatinya sahaja. Raikan dan hargai detik ini."

Pada awal perlawanan, pengadil dari Amerika Syarikat, Ismail Elfath pada mulanya meminta perlawanan diteruskan selepas terjahan Kristoffer Ajer terhadap Matheus Cunha di dalam kotak penalti, sebelum mengubah keputusannya dan menunjuk ke titik penalti selepas membuat semakan di monitor imbasan semula.

Guimaraes melangkah ke titik penalti, melakukan sedikit gerakan tipu lalu merembat ke penjuru bawah kanan, namun Nyland tangkas merebahkan badan untuk menyelamatkan bola.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS