mk-logo
Berita
Budaya Ali Baba, surat sokongan, 'kabel' sabotaj ekonomi - persatuan
Diterbitkan:  Jul 6, 2026 1:36 PM
Dikemaskini: 5:36 AM

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menyokong sepenuhnya tindakan menghapuskan budaya politik naungan melalui surat sokongan dan "kabel" dalam penganugerahan pembiayaan kerajaan.

Presiden Samenta William Ng berkata, budaya toksik yang berlaku dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjejaskan ekosistem keusahawanan tempatan dan merupakan sabotaj kepada ekonomi negara. 

"Sebarang cubaan untuk memintas tadbir urus pembiayaan sewajarnya, termasuk melalui penggunaan surat sokongan politik, adalah satu tindakan sabotaj ekonomi.

"Selama berdekad-dekad, budaya Ali Baba dan naungan politik dalam kelulusan dana telah menjejaskan ekosistem keusahawanan kita secara serius.

"Apabila dana awam diagihkan berdasarkan 'siapa yang dikenali' berbanding keupayaan komersial, PKS yang tulen dipinggirkan daripada mendapat pembiayaan penting," katanya, dalam kenyataan.

Tegasnya, amalan itu juga mengakibatkan agensi yang dipertanggungjawabkan membangunkan PKS terpaksa menanggung beban pinjaman tidak berbayar," katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) Steven Sim sebelum ini dilaporkan berkata, kementeriannya tidak akan berkompromi dengan amalan itu, sambil menegaskan dana dan bantuan pinjaman perniagaan yang disediakan kerajaan adalah hak bagi yang layak tanpa memerlukan sebarang talian hayat politik.

Steven Sim

Kementerian itu katanya berusaha menghapuskan budaya negatif itu termasuk penglibatan pihak ketiga dalam meluluskan sebarang pembiayaan.

Awal Julai lalu, Perdana Menteri Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa amalan menggunakan surat sokongan, hubungan politik dan kronisme dalam meluluskan pembiayaan usahawan merugikan agensi kerajaan serta menyebabkan banyak perniagaan gagal.

Menteri kewangan itu berkata, bantuan kerajaan wajar disalurkan kepada usahawan yang benar-benar layak.

Menurutnya, kegagalan disebabkan faktor pasaran adalah lumrah dalam perniagaan namun terdapat kes penerima bantuan yang menggunakan pembiayaan kerajaan itu untuk berbelanja mewah bagi diri sendiri.

Pada Nov 2025, Anwar menolak gesaan agar setiausaha politiknya ketika itu dipecat berhubungan kontroversi surat sokongan dikeluarkan bagi kontraktor yang membida projek hospital seperti didedahkan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli.

Ketika persidangan Dewan Rakyat sebelum itu, Anwar berkata setiausaha politiknya itu sudah ditegur memandangkan perkara itu melanggar peraturan kerajaan.

Pendedahan Rafizi ketika itu turut disahkan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Samenta turut mendakwa, sistem digital yang dibangunkan untuk menjamin ketelusan dan menghapuskan orang tengah masih boleh dimanipulasi orang dalam.

Susulan itu, Samenta mencadangkan agar agensi terlibat dapat menerbitkan laporan berkala bagi mengurangkan ruang salah guna kuasa dan meminimumkan kronisme.

Katanya, mekanisme perlindungan pemberi maklumat juga wajar diwujudkan bagi membolehkan pemberi maklumat melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau unit integriti di kementerian berkaitan tanpa rasa takut akan kesan buruk.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS