Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata kemenangan bagi Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya Johor Sabtu ini akan membolehkan perubahan besar dilakukan di 123 kampung baru Cina di negeri itu.
Janji itu dibuat ketika DAP sedang berdepan tekanan untuk meraih undi kaum Cina bagi PH — faktor utama jika gabungan itu mahukan peluang untuk memenangi pilihan raya berkenaan.
Ketika berucap dalam ceramah yang penuh sesak di Jementah, Segamat pada malam Sabtu, Nga berkata kemenangan akan membolehkan DAP menggantikan semua ketua kampung MCA sedia ada bagi membolehkan kemajuan dan pembangunan yang lebih lancar.

Pada masa ini, apabila peruntukan disalurkan, ketua kampung MCA-BN melengah-lengahkan tindakan dengan "menimbang" pilihan mereka, dakwanya sambil menyindir logo dacing BN yang “berat sebelah”.
Dia berkata perkara itu berbeza dengan cara kerja DAP yang disifatkannya sebagai pantas seperti roket.
"Tetapi jika pada hari Sabtu ini kita menang di Jementah, dan seluruh kerajaan negeri Johor ditukar kepada PH, dan semua 123 ketua kampung menjadi DAP, tahun depan keadaan akan menjadi sangat berbeza. Apabila saya kerja, perkara boleh bergerak sangat pantas. Sepantas roket.
"Lihat Perak: kami selesaikan 1,000 projek setahun, manakala Johor hanya 400. Mengapa? Kerana Perak dipimpin sepenuhnya oleh DAP, jadi semuanya lebih cepat.

"Kamu mahu taman, kamu dapat taman; kamu mahu pasar, kamu dapat pasar; kamu mahu pusat penjaja, kamu dapat pusat penjaja; jalan raya lancar, lampu terang, parit mengalir — semuanya baik," katanya.
Kampung baru Cina berada di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
