Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melawat sebuah sekolah di Banting, Selangor yang menyaksikan tragedi berdarah seorang pelajar menikam pelajar lain pagi tadi.
Dia menegaskan tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan mangsa diberikan rawatan perubatan dan sistem sokongan psikososial untuk warga sekolah.
“Semoga tuan pengetua, para guru yang kami kasihi dan anak-anak pelajar semuanya diberikan kesabaran dan kekuatan menghadapi ujian ini,” katanya.
Pagi tadi, dilaporkan suspek yang berpakaian serba hitam menikam seorang pelajar sehingga cedera dan dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan.


Suspek ditahan polis yang dimaklumkan perkara itu melalui panggilan telefon seorang pelajar dan menangkap suspek.
Kes disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan cubaan membunuh, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Tiada butiran lanjut didedahkan ketika ini, walaupun telah muncul beberapa dakwaan berkaitan kes itu dan latar belakang suspek di media sosial.

Menulis di media sosial, Fadhlina memohon orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu atau mereka-reka fitnah memandangkan kes ini disiasat oleh pasukan polis.
“Terima kasih diatas perhatian semua. Rakaman penghargaan juga buat semua agensi yang terlibat.
“Insya-Allah jika ada perkembangan berkaitan kes ini (yang boleh dikongsikan dengan kebenaran pihak berkuasa) akan saya kongsikan dari semasa ke semasa,” katanya.
