mk-logo
Berita
Tragedi sekolah di Banting: Pelajar sendiri tikam pelajar
Diterbitkan:  Jul 6, 2026 3:41 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Polis mendedahkan bahawa individu yang menikam seorang pelajar dalam kawasan sekolah di Banting juga merupakan seorang pelajar.

“Hasil siasatan mendapati pelajar perempuan tersebut telah ditikam menggunakan sebilah pisau oleh seorang pelajar perempuan juga.

“Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Banting dan dalam keadaan stabil. 

“Suspek di dalam kes ini juga telah berjaya ditahan untuk siasatan lanjut,” kata Ketua Polis Daerah Kuala Langat Mohd Akmalrizal Radzi. 

Terdahulu, suspek hanya dirujuk seorang wanita, tanpa identitinya sebagai pelajar didedahkan.

Laporan itu dikeluarkan selepas tular gambar dan video memaparkan kekecohan di sebuah sekolah apabila suspek wanita yang berpakaian serba hitam memegang pisau dan berlegar dalam kawasan sekolah.

Pelajar telefon polis

Dalam kenyataan awal petang ini, Mohd Akmalrizal berkata mereka menerima panggilan telefon dari seorang pelajar sendiri yang memaklumkan perkara itu.

“Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat telah mengambil tindakan segera ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Kes ini disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pihak polis mengharapkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi bagi tidak mengganggu siasatan.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS