Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki meminta parti-parti politik supaya berkempen secara berhemah dengan tidak mengaitkan keputusan pilihan raya dengan pembebasan bekas perdana menteri, Najib Razak.

"Kempenlah secara berhemah! Sejak bila pembebasan seseorang ditentukan melalui pilihan raya? Datuk Seri Najib hanya boleh bebas dengan kuasa mutlak pengampunan Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Pada komen dalam hantaran yang sama, Asyraf mendakwa PH menyebarkan kempen tersebut untuk membohongi rakyat Johor dalam pilihan raya negeri (PRN) itu.

"Saya pelik betul kempen PH daripada setinggi-tinggi pemimpin sampailah ke peringkat bawah seolah-olah tiada modal lain dalam kempen PRN Johor. Di mana-mana asyik menjaja nama Datuk Seri Najib.

"Cuba membohongi rakyat seolah-olah jika Barisan Nasional menang pilihan raya Johor maka Datuk Seri Najib akan dibebaskan.

“Aduhai, takkanlah rakyat Johor boleh diperbodohkan sebegitu rupa. Apa kaitan pilihan raya dengan pembebasan pula? Sekarang Rakyat sudah cerdik bukan senang dipermainkan sebagaimana era 2018 dengan pelbagai janji-janji bohong bulan dan bintang.

"Pembebasan Datuk Seri Najib hanya ada satu sahaja cara sebagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu, iaitu melalui kuasa pengampunan YDP Agong, sebagai mana termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Kata Asyraf, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, PH perlu lebih berhemah dan berfakta dalam kempen-kempen PRN Johor.

"Kemukakanlah tawaran realistik kepada rakyat macam mana nak lawan agenda Maju Johor 2030 yang ditawarkan BN," katanya.

Bagaimanapun Asyraf tidak mengulas kenyataan anak Najib yang juga Ketua Umno Langkawi, Nazifuddin Najib, sebelum ini yang menyatakan kemenangan besar BN di Johor akan menjadi isyarat bahawa rakyat masih menyokong Najib dan berharap bekas perdana menteri itu diberi pengampunan diraja.

“Kalau BN menang besar, ia menjadi isyarat bukan sahaja rakyat Johor menyokong BN dan kepimpinan negeri, tetapi mereka juga masih sayangkan ‘Bossku’ dan mengharapkan beliau dapat bersama semula dengan rakyat,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Namun Nazifuddin mengakui kemenangan BN pada PRN tidak bermakna Najib akan dibebaskan secara automatik.

“Kita bukan memilih perdana menteri. Apa yang kita mahu ialah BN menang besar.

“Kalau BN menang besar, apa salahnya kalau Bossku diampunkan dan dibebaskan? (Tetapi) Itu hak Yang di-Pertuan Agong," tambahnya.

Nga ugut letak jawatan

Dalam wawancara bersama Oriental Daily bulan lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memberi amaran kemenangan besar Umno di Johor mungkin membawa kepada pembebasan awal Najib.

Jika perkara itu berlaku, katanya, dia akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan daripada Kabinet dan memberi amaran DAP juga mungkin menarik diri daripada kerajaan perpaduan.

Sebagai respons, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, membalas kenyataan Nga dengan menggesa Timbalan Pengerusi DAP itu meletakkan jawatan serta-merta.

Mohamad, yang juga Timbalan Presiden Umno, mendakwa Nga bersikap angkuh kerana mengaitkan pilihan raya negeri dengan kemungkinan pembebasan Najib.