Satu "peluru tidak dikenali" telah melanggar dan mencetuskan kebakaran pada sebuah kapal tangki minyak di luar pantai Oman berhampiran Selat Hormuz pada Isnin.
AFP melaporkan insiden itu berlaku berhampiran salah satu laluan perkapalan tenaga paling penting di dunia, di sebalik gencatan senjata antara AS dan Iran serta usaha berterusan untuk mencapai perjanjian damai yang berkekalan.

Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) menyatakan insiden berkenaan berlaku lapan batu nautika di timur Limah, Oman.
"Sebuah kapal tangki melaporkan ia terkena peluru yang tidak dikenali di bahagian kiri kapal (port side) yang mencetuskan kebakaran ketika sedang belayar ke selatan," kata UKMTO dalam satu hantaran di X.
Agensi itu memaklumkan tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan alam sekitar diterima buat masa ini.
"Kapal-kapal dinasihatkan untuk belayar dengan berhati-hati dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada UKMTO," tambah agensi itu sambil menyatakan bahawa pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan.
Selat Hormuz menjadi pusat ketegangan semasa perang Asia Barat, apabila Iran menyekat laluan air tersebut dan beberapa kapal komersial diserang, sekali gus menyebabkan harga tenaga global melonjak tinggi.

AS bertindak balas dengan sekatan maritimnya sendiri dan kemudian melancarkan serangan balas terhadap Iran selepas menuduh Tehran menyasarkan kapal perkapalan komersial.
Laluan maritim disambung semula selepas Washington dan Tehran menandatangani memorandum persefahaman pada bulan lalu yang bertujuan menamatkan konflik dan membuka semula laluan strategik berkenaan.
Bagaimanapun, Iran menegaskan tiada pengembalian kepada pengaturan sebelum perang, yang mana kapal-kapal sebelum ini bebas melalui selat tersebut.
Tehran memberi amaran kepada kapal-kapal agar tidak menggunakan laluan di luar koridor yang telah dibenarkan di sepanjang garis pantainya.
Selat Hormuz merupakan pintu masuk maritim utama bagi eksport tenaga dari negara Teluk ke pasaran antarabangsa, terutamanya di Asia.
Kira-kira 20 juta tong minyak mentah melalui laluan air itu setiap hari pada 2024, yang merangkumi kira-kira satu perlima daripada minyak mentah global, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS.
