PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata dia akan menurunkan logo RTM daripada kandungan politik yang diterbitkan dalam akaun media sosialnya.
Langkah ini diambil selepas seorang anggota parlimen pembangkang membangkitkan isu mengenai agensi berita milik kerajaan itu yang didakwa disalah gunakan untuk menyiarkan aktiviti politik Anwar atas kapasitinya sebagai pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Pertamanya kalau secara spesifik soal kenyataan perdana menteri selaku pengerusi PH dengan lambang RTM saya boleh betulkan.
“Saya tidak ikuti tapi kalau itu benar kita boleh betulkan.
“Tapi kenyataan saya itu dilaporkan saya tak adalah salah, cuma isunya logo RTM. Saya setuju,” kata perdana menteri semasa Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.
Dia menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Perikatan Nasional-Pasir Mas) yang mempersoalkan tindakan RTM menyiarkan ceramah PH yang menampilkan Anwar.
Sambil merujuk kepada satu poster yang memaparkan logo RTM di Facebook Anwar bulan lalus, ketua penerangan PAS itu berkata RTM sebagai agensi awam sepatutnya hanya membuat liputan ucapan Anwar sebagai perdana menteri.

Sementara itu, menyentuh isu kebebasan media, perdana menteri memberi komitmen untuk menghentikan siasatan sewenang-wenangnya terhadap wartawan.
Dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebarang aduan terhadap wartawan hendaklah dirujuk kepada Majlis Media Malaysia terlebih dahulu.
“... pengamal media terikat dengan undang-undang tapi saya setuju jangan mengheret wartawan mudah dalam kes-kes yang difikir oleh jabatan kerajaan tanpa keperluan.
“Sebab itu sekarang ni ada Majlis Media, kalau ada pandangan tentang wartawan... setahun yang lalu tidak ada kes langsung dengan wartawan walaupun banyak laporan-laporan tidak disenangi oleh banyak pihak.
“Tapi keputusan kita mewujudkan Majlis Media ini memudahkan kerana kalau ada mana-mana keterlanjuran oleh media dia dirujok pada Majlis Media.” katanya.
