Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Budi95: Adakah Onn anggap menteri Umno semua bodoh, kata Sheikh Omar
Diterbitkan:  Jul 7, 2026 12:53 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali mempersoalkan sama ada Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menganggap barisan menteri Umno dalam Kabinet sebagai tidak memahami isu subsidi minyak susulan kritikannya terhadap dasar BUDI95.

Dia berkata, tindakan Onn yang terus menyerang dasar Kerajaan Madani berhubung pelaksanaan Budi95 seolah-olah mengetepikan hakikat bahawa beberapa pemimpin tertinggi Umno sendiri merupakan sebahagian daripada kerajaan pusat.

"Yang lebih menghairankan, parti beliau mempunyai tujuh orang menteri dalam Kabinet Persekutuan. Bahkan mereka bukan pemimpin biasa. Ada Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

"Adakah Onn anggap Menteri-menteri Umno itu semuanya bodoh? Zahid Hamidi, Johari Abdul Ghani, Khaled Nordin, Azalina Othman Said dan sebagainya.

"Jika benar ada kelemahan dalam pelaksanaan, bawalah berbincang. Bukan menjadikannya bahan serangan terbuka seolah-olah mereka sendiri bukan sebahagian daripada kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Omar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Onn yang menggesa Kerajaan Persekutuan memansuhkan kuota bulanan Budi95 dengan alasan mekanisme itu membebankan rakyat.

Dipetik Oriental Daily, Pengerusi BN Johor itu berkata, aduan paling kerap dibangkitkan oleh rakyat Johor sepanjang tempoh berkempen ialah mengenai harga bahan api serta peningkatan kos sara hidup.

Bagaimanapun Sheikh Omar berkata persoalan utama ialah sama ada Onn benar-benar memahami rasional di sebalik pelaksanaan Budi95 yang diperkenalkan pada September 2025 selepas kerajaan meneliti pelbagai pilihan berkaitan subsidi bahan api.

Dia berkata, ketika itu terdapat cadangan daripada pakar ekonomi termasuk Bank Dunia supaya subsidi bahan api diapungkan mengikut harga pasaran, namun kerajaan memilih pendekatan subsidi bersasar bagi terus melindungi rakyat.

"Apabila krisis Asia Barat menyebabkan harga minyak dunia melonjak dan rantaian bekalan global terganggu, rakyat Malaysia tidak menanggung sepenuhnya kenaikan tersebut.

"Jika tiada mekanisme seperti Budi95, rakyat pasti berdepan kenaikan harga petrol yang jauh lebih tinggi,” katanya.

Sheikh Omar berkata, sebarang kelemahan dalam pelaksanaan dasar sepatutnya dibawa ke meja perbincangan dan bukannya dijadikan bahan serangan politik terbuka.

Dia turut mendakwa Onn sering tidak menghadiri mesyuarat antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri, yang menurutnya mungkin menyebabkan dia kurang memahami beberapa perkara berkaitan dasar kerajaan.

Pada masa sama, Sheikh Omar menegaskan Kerajaan Madani tidak pernah mendakwa semua dasar yang dilaksanakan adalah sempurna, sebaliknya sentiasa terbuka menerima pandangan rakyat serta melakukan penambahbaikan.

"Apa yang pelik, apabila penyasaran subsidi diesel bermula pada tahun 2024 dan mekanisme Budi95 diperkenalkan pada tahun 2025, suara bantahan Onn seperti ini tidak pula kedengaran," katanya.

Menurutnya lagi, Johor memerlukan kepimpinan yang menawarkan penyelesaian dan bukan sekadar mengulangi retorik politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS