Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakyah lapuk - Loke sanggah dakwaan k'jaan ikut telunjuk DAP
Diterbitkan:  Jul 7, 2026 4:30 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Semua dasar dan keputusan kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri Sembilan dibuat secara kolektif menerusi perbincangan dan konsensus semua parti komponen, bukannya mengikut telunjuk mana-mana pihak.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata dakwaan bahawa kerajaan dipengaruhi atau mengikut “telunjuk” DAP adalah naratif lapuk yang terus dimainkan untuk memburukkan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata dalam kerajaan Persekutuan, semua parti termasuk DAP, Umno dan PKR mengemukakan pandangan masing-masing sebelum keputusan dimuktamadkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak ada lagi alasan lain selain nak salahkan DAP? Apa sahaja dalam gabungan kerjasama politik ini, ada ruang untuk berbincang. Sebagai rakan komponen dan anggota pentadbiran, sudah tentu kita bagi pandangan, takkanlah hanya duduk membisu sahaja.

“Umno juga bagi pandangan, PKR juga bagi pandangan tetapi akhirnya, Perdana Menteri membuat pertimbangan, bukannya ikut telunjuk mana-mana pihak,” katanya di Seremban hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya PH mengikut telunjuk DAP dalam membuat segala urusan pentadbiran.

Menteri Pengangkutan itu berkata amalan sama turut dilaksanakan di Negeri Sembilan apabila Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mendapatkan pandangan semua parti komponen sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Menurut Loke, dakwaan yang mengatakan orang Melayu terancam di Negeri Sembilan juga tidak berasas memandangkan negeri itu diterajui Menteri Besar berbangsa Melayu manakala dasar serta program kerajaan terus menjaga kebajikan semua rakyat.

“Selalu kata Melayu terancam, ini taktik lama. Apa yang terancam? Di Negeri Sembilan semuanya baik-baik sahaja.

“Menteri Besar tetap orang Melayu dan program serta dasar kerajaan menjaga kepentingan rakyat, termasuk orang Melayu terus dilaksanakan sejak PH mentadbir negeri ini pada 2018,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS