Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Ahli Lembaga dan Pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengamalkan tatakelola terbaik dan tidak mengulangi kesilapan yang pernah berlaku dalam pengurusan agensi itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata prinsip berkenaan yang diamalkan Kerajaan Madani akan memberi manfaat kepada rakyat melalui pentadbiran lebih telus, berintegriti dan berkesan.
“Kerajaan terpaksa keluarkan hampir RM1 bilion setahun, untuk apa? Bayar hutang. Apakah salah peneroka? Tidak. Salah pengurusan dan orang-orang yang diberi amanah serta salah guna.
“Ini yang sebabnya harus kita ingat, jangan ulang kesilapan itu...akhirnya yang terbeban, yang terpaksa bayar, kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Peneroka dan 70 tahun Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di Maran hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata penganjuran majlis berkenaan di tanah rancangan membolehkan kos penganjuran dijimatkan berbanding diadakan di ibu kota, selain memberi limpahan manfaat ekonomi kepada komuniti setempat.
“Saya minta disenaraikan beza kos adakan Hari Peneroka di sini dengan di ibu kota, jauh lebih murah. Kita dapat menyelamatkan dana dan dipulangkan kepada peneroka,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata perubahan model penjualan minyak sawit mentah telah menyebabkan keuntungan kilang sawit merudum sehingga menjejaskan 28 peratus ekuiti milik Koperasi Permodalan Felda (KPF).
“Bagi menoktahkan kegelisahan ini, kita akan mengembalikan semula model penjualan minyak sawit mentah tersebut kepada sistem asal seperti sebelum penyenaraian FGV. Langkah ini bakal memberi manfaat unjuran pendapatan tambahan sehingga RM42 juta kepada seluruh warga Peneroka Felda melalui KPF,” katanya.
Di samping itu, bagi memperkasakan literasi digital kepada warga peneroka, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM15.85 juta kepada 317 buah rancangan Felda yang layak.
Beliau berkata inisiatif berkenaan akan dilaksanakan melalui sinergi erat Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital disokong infrastruktur Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang kini merentasi rancangan dan luar bandar.
Bagi bidang pendidikan, Anwar berkata sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 370 sekolah rendah dan menengah di kawasan Felda.
Selain itu, dalam aspek kesihatan warga Felda, sejumlah dana tambahan berjumlah RM3 juta disediakan bagi pasukan kesihatan Skuad MAYA Felda.
Skuad berkenaan berjaya melahirkan 1,555 ahli sukarelawan dalam kalangan peneroka, belia serta generasi baharu dan telah melaksanakan lebih 18,000 saringan kesihatan di 371 tanah rancangan seluruh negara.
Perdana Menteri berkata pelbagai pembaharuan penting telah dilaksanakan walaupun memerlukan perbelanjaan besar, namun kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya untuk memperkukuh Felda dan memastikan manfaatnya dapat dinikmati warga peneroka.
- Bernama
