Ketua Menteri: Chia pilihan Umno negeri?
"Nama saya dicalonkan? Itu adalah spekulasi media sahaja," kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Seri Chia Kwang Chye tetapi enggan mengulas lanjut spekulasi bahawa beliau bakal menggantikan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai Ketua Menteri.
Semalam Dr Koh, yang menyandang jawatan Ketua Menteri selama 18 tahun, mengumumkan yang beliau bersedia untuk bertanding di kerusi Parlimen pada pilihanraya umum ke-12.
Dr Koh yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah, menjadi Ketua Menteri selama empat penggal sejak 1990.
Beliau mengambil alih kepimpinan Gerakan daripada Datuk Seri Lim Keng Yaik tahun lalu.

"Kita semua termasuk saya sendiri belum tahu lagi siapa tiga nama yang dicadangkan oleh Ketua Menteri," kata Chia kepada pemberita hari ini.
Menurut Dr Koh, beliau telah mencadangkan tiga nama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk dipilih sebagai pengganti beliau, demikian menurut Bernama.
Selain Chia, yang juga Setiausaha Agung Gerakan, dua tokoh lagi yang dipercayai turut dicadangkan ialah Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Lalulintas, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat Datuk Dr Teng Hock Nan.
Lee minat Parlimen
Ditanya sama ada beliau bersedia jika di pilih menjadi Ketua Menteri, Chia enggan mengulas kerana tidak tahu sama ada namanya turut tersenarai atau tidak.
"Pastikan nama ada tersenarai, baru boleh buat pertimbangan," katanya.
Chia yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata beliau tidak dihubungi oleh Koh yang juga Pemangku Presiden Gerakan berhubung perkara itu.
"Beliau tidak beritahu saya apa-apa lagi. Pilihanraya tak tentu lagi bila (diadakan), jadi biarlah Perdana Menteri yang tentukan," katanya.
Chia dilihat sebagai calon yang disokong oleh kepimpinan Umno Negeri. Penduduk Pulau Pinang bagaimanapun berharap agar Teng dipilih untuk menjadi Ketua Menteri mereka yang baru.
Sementara itu, ketika bercakap kepada media berbahasa Cina semalam, Teng enggan mengulas mengenai perkara itu kerana "tidak pasti sama ada nama beliau turut disenaraikan".
Manakala Lee pula, dipetik oleh media berbahasa Cina sebagai berkata beliau lebih berminat untuk terus bertanding di kerusi Parlimen Jelutong yang diwakilinya sekarang.