Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menolak usaha Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendapatkan butiran transaksi pembelian dan pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki melebihi nilai RM100,000.
Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menegaskan, maklumat itu adalah sebahagian daripada dokumen siasatan dan dilindungi undang-undang serta tidak boleh didedahkan kepada umum.
"Berhubung permintaan Ahli Yang Berhormat untuk mendapatkan senarai transaksi pembelian saham serta tempoh pegangan yang melebihi nilai tertentu, maklumat yang diminta merupakan sebahagian daripada dokumen siasatan, maklumat peribadi serta perisytiharan harta yang dilindungi di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan tidak menjadi dokumen awam," kata Azalina.
Ahli Parlimen Pengerang itu bagaimanapun memberi jaminan pejabat ketua setiausaha negara akan memberikan makluman kepada umum sekiranya dirasakan perlu berkaitan isu tersebut.
Jelasnya lagi, isu itu sudah diteliti jawatankuasa khas siasatan yang ditubuhkan pada 13 Feb lalu dan hasil siasatan sudah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

"Kerajaan memberi jaminan semua aspek yang berkaitan, termasuk pemilikan saham dan pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa, telah diteliti dalam siasatan tersebut dan tindakan yang sewajarnya telah diambil berdasarkan dapatan jawatankuasa," katanya.
Lee dalam soalannya meminta perdana menteri menyenaraikan transaksi pembelian saham Azam dari tahun 2012 hingga 2026.
Dia juga meminta tempoh masa apabila jumlah pegangan saham melebihi RM100,000 dinyatakan.
Isu pemilikan saham melibatkan Azam sebelum ini mencetuskan perhatian umum dan perbahasan mengenai integriti serta tadbir urus dalam kalangan pegawai kanan kerajaan.
Isu itu tercetus selepas Bloomberg dan Malaysiakini melaporkan dia memiliki saham penting dalam dua syarikat melebihi had yang dibenarkan oleh sektor perkhidmatan awam.
Kerajaan kemudian menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar untuk meneliti pematuhan dan keteraturan 17.7 juta saham yang dibeli Azam pada harga sekitar RM1.5 juta.
Kabinet menerima dan membincangkan dapatan siasatan jawatankuasa itu pada 11 Mac tetapi tidak mendedahkannya setakat ini.
