Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali meminta semua pihak supaya tidak sakiti abangnya yang telah menyertai Umno dengan perkataan atau perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan beliau.

Abang Mustafa - Zakaria Ali, 63, dari Alur Tuman bersama-sama 20 lagi rakannya menyerahkan borang keahlian Umno kepada Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh di Perkampungan Hadhari peringkat Parlimen Marang semalam.

Menurutnya, abangnya itu tidak pernah menjadi ahli PAS dan tidak terlibat aktif dalam PAS sejak 40 tahun lalu.

zakaria ali joins umno 110208 "Beliau hanya seorang sympathizer sahaja kepada PAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustafa berkata, sepanjang karier politiknya hampir 35 tahun, beliau tidak pernah meminta Zakaria terlibat secara aktif dalam PAS kerana beliau (Zakaria) menghadapi masalah kesihatan.

"Memang dia seorang pesara guru yang bersara awal atas perakuan Lembaga Perubatan," katanya.

'Pengawasan doktor'

Oleh itu, beliau berharap sesiapa sahaja yang mendekati dan bersama dengan beliau, termasuk pemimpin Umno, supaya menjaga abangnya itu dengan baik.

Katanya, ini kerana abangnya masih terus-menerus di bawah pengawasan doktor sejak 40 tahun yang lalu akibat satu kemalangan jalanraya pada awal tahun 1960-an.

mustafa ali 01 "Saya berharap semua pihak tidak sakitinya dengan perkataan atau perbuatan yang boleh lebih menjejaskan kesihatan beliau," kata Mustafa.

Semalam, Zakaria dilaporkan berkata beliau tidak menganggotai mana-mana parti tetapi mengaku merupakan penyokong kuat PAS.

Katanya, mereka menyertai Umno kerana merasakan PAS telah lari daripada matlamat asal untuk memperjuangkan Islam dan tidak mampu membela kebajikan rakyat.

Ditanya sama ada Mustapa mengetahui keputusannya menyertai Umno, Zakaria berkata, hubungan mereka adik beradik tidak begitu rapat dan jarang berhubungan.