Lebih 120 bekas ahli dan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Pulai hari ini mengisytiharkan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).
Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas Muhammad Faezuddin Mohd Puad berkata kumpulan berkenaan sebenarnya telah menyatakan hasrat menyokong gabungan itu lebih awal namun memilih untuk mengumumkannya secara terbuka hari ini.
Beliau berkata antara bekas pimpinan yang menyertai PH ialah bekas Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Bahagian Pulai Rafidah Ani, bekas Setiausaha Srikandi Bahagian Pulai Noriah Mat Daud, bekas Pengerusi Bersatu Cawangan Bukit Mewah Mohd Suhimi Abdul Rahman serta beberapa ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan.
"Mereka telah menyatakan hasrat itu lebih awal, tetapi kesediaan untuk mengumumkannya dibuat pada hari ini... mereka juga telah memaklumkan perkara itu kepada pimpinan (Bersatu)," katanya dalam sidang media di Johor Bahru hari ini.
Muhammad Faezuddin, yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, berkata faktor utama mereka menyokong PH adalah didorong oleh pendekatan gabungan itu yang mengamalkan pendekatan membantu rakyat tanpa mengira fahaman politik.
"Apabila menjadi wakil rakyat atau kerajaan, kita bantu semua... selepas pilihan raya, kita bantu rakyat tanpa mengira mereka daripada Bersatu, UMNO, PKR, DAP atau mana-mana parti… kita mahu membawa budaya politik baharu, bukan budaya lama yang hanya membantu penyokong atau kroni parti tertentu... mungkin pendekatan itu menyebabkan mereka selesa untuk bersama kita," katanya.
Sementara itu, Rafidah mendakwa rasa kecewa terhadap kepimpinan Bersatu yang sukar memberikan penghargaan serta bantuan kepada masyarakat mendorong beliau beralih arah ke PH.
Sepanjang penglibatannya, beliau berhasrat membantu golongan memerlukan seperti ibu tunggal namun berdepan kesukaran mendapatkan sokongan yang sewajarnya daripada parti lama.
"Saya rasa kecewa kerana Srikandi seperti dianaktirikan dan tidak dihargai," katanya.
Mohd Suhimi pula berkata kekecewaan terhadap layanan serta kegagalan mendapatkan bantuan untuk penduduk setempat menjadi punca beliau dan ahli lain meninggalkan Bersatu.
"Saya berharap calon PH dapat membawa lebih banyak kemudahan serta kemajuan kepada Kempas termasuk dalam aspek ekonomi dan kesihatan penduduk," katanya.
Beliau juga berhasrat membantu memperkukuh PKR di Kempas dengan menarik lebih ramai ahli baharu khususnya di kawasan Projek Perumahan Rakyat.
Muhammad Faezuddin berdepan persaingan tiga penjuru di DUN Kempas menentang calon Barisan Nasional dan Parti Bersama Malaysia (Bersama).
PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN, yang bakal ditentukan oleh 2,727,926 pemilih berdaftar pada Sabtu ini.
Calon N47: Kempas: 64,244 pengundi berdaftar
1. Datuk Ramlee Bohani (BN-UMNO)
2. Muhammad Faezuddin Mohd Puad (PH-PKR)
3. Salamahafifi Mohd Yusnaieny (Bersama)
(2022: Datuk Ramlee Bohani: BN-UMNO: Maj: 3,514)
- Bernama
