Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertembungan PH-BN lebih kepada taktikal, kata penganalisis

Perbalahan di antara PH dan BN semakin ketara ketika tarikh PRN Johor serta Negeri Sembilan kian menghampiri, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa kerjasama yang sering disifatkan sebagai benci tapi sayang di Putrajaya mungkin menghampiri noktah.

Namun, di sebalik pertikaman lidah yang semakin tajam antara pemimpin PH dan BN, pemerhati masih belum cukup yakin permusuhan yang dipamerkan secara terbuka itu mencerminkan keretakan yang tidak lagi boleh dipulihkan.

Sebaliknya, ada yang melihat perkembangan itu sekadar penyesuaian strategi menjelang pilihan raya.

Ahli akademik Universiti Malaya, Khoo Ying Hooi, berkata BN khususnya Umno mempunyai kelebihan dari segi organisasi dan sejarah di Johor berbanding Negeri Sembilan yang semakin menjadi lokasi yang kompetitif.

Katanya bertanding secara berasingan membolehkan setiap gabungan mengekalkan identiti masing-masing, menggerakkan asas penyokong tradisional serta memaksimumkan kuasa tawar-menawar.

"Bagi BN, dilihat terlalu rapat dengan PH mempunyai kesan politik dalam kalangan sebahagian pengundi Melayu terasnya, manakala PH juga perlu meyakinkan penyokong mereka yang masih berasa kurang selesa bekerjasama dengan Umno," katanya.

Walaupun tidak menolak sepenuhnya kemungkinan PH dan BN benar-benar menamatkan kerjasama mereka, Khoo berkata, perkara itu masih belum pasti memandangkan landskap politik Malaysia selepas PRU ke-14 sangat dinamik.

Berkongsi pandangan sama ialah seorang lagi penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Awang Azman Awang Pawi, yang berpendapat pendirian keras yang diambil PH dan BN mencerminkan tekanan yang dihadapi kedua-dua gabungan terbabit daripada akar umbi masing-masing.

Menurutnya, BN – khususnya Umno – perlu meyakinkan penyokong teras mereka iaitu Melayu Islam bahawa parti itu tidak berada di bawah bayangan PH dan DAP.

Johor medan ujian penting

Pada masa sama, kata Awang Azman, PH juga perlu menunjukkan kepada penyokong agenda Reformasi bahawa gabungan itu bukan sekadar menjadi pelengkap kepada BN.

"Itulah sebabnya retorik kempen mereka menjadi semakin keras.

“Setiap pihak berusaha mempertahankan maruah politik, jenama parti dan kedudukan tawar-menawar menjelang PRU akan datang," katanya.

Awang Azman yang juga profesor Pengajian Melayu di Universiti Malaya menambah, PH dan BN perlu menampilkan imej yang berbeza antara satu sama lain sepanjang kempen pilihan raya.

Justeru, tambahnya, kedua-dua gabungan tersebut perlu menjarakkan diri antara satu sama lain dari segi politik, dan melancarkan serangan terpilih bagi menonjolkan perbezaan masing-masing.

Awang Azman Awang Pawi

Pada masa sama ahli akademik itu berpendapat PRN Johor tetap akan menjadi medan ujian penting terhadap hubungan PH dan BN.

Jika BN melakar kejayaan yang kukuh, katanya, ia akan menguatkan kedudukan mereka serta melebarkan jurang pengaruh antara kedua-duanya.

Sebaliknya, kata Awang Azman, jika PH menunjukkan prestasi baik di luar jangkaan, ia akan meningkatkan kuasa tawar-menawarnya dalam rundingan pada masa depan.

Sementara itu, tiga lagi pakar yang dihubungi Malaysiakini meramalkan PH dan BN akan mengulangi kerjasama yang terjalin selepas PRU akan datang.

Sesuatu yang biasa

Pemerhati politik, Oh Ei Sun, berpandangan kedua-dua gabungan akan memberi tumpuan untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi dengan rancangan membentuk kerajaan ketika tiada parti atau gabungan mampu memperoleh majoriti mutlak di parlimen.

"Justeru tidak akan wujud permusuhan yang berakar umbi mahupun persefahaman yang mendalam antara mereka.

"Semuanya hanyalah perkahwinan politik atas dasar kepentingan bagi mendapatkan dan mengekalkan kuasa pemerintahan. Tiada perasaan dendam atau sentimen peribadi," kata penasihat utama Pacific Research Center Malaysia itu.

Oh Ei Sun

Pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri, pula berkata kerajaan perpaduan yang dianggotai PH, BN dan parti-parti lain dibentuk bukan atas asas ideologi bersama, sebaliknya bagi memastikan kestabilan politik.

Oleh sebab itu, katanya, adalah sesuatu yang normal bagi parti-parti terbabit kembali kepada pendirian asal dan bersaing sesama sendiri dalam pilihan raya.

"Namun selepas pilihan raya, jika tiada pihak memperoleh majoriti yang kukuh, saya tidak akan terkejut jika mereka bekerjasama semula atas sebab yang sama.

"Itulah realiti gabungan politik pascapilihan raya di Malaysia ketika ini," katanya kepada Malaysiakini.

Berkongsi pendapat sama ialah Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia yang berkata, perseteruan seperti yang kelihatan sekarang adalah sesuatu yang biasa menjelang pilihan raya.

Apabila pilihan raya selesai, katanya, mereka akan berdamai semula.

"Hakikatnya mereka bersaing demi rakyat. Jadi, dengan matlamat membangunkan negara, mereka yang sebelum ini enggan bekerjasama dengan DAP akhirnya tetap akan bekerjasama juga,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS