PRN JOHOR | Ikhlas - itu aspek penting yang ditegaskan oleh PAS dalam komitmen mereka memberikan dukungan kepada Umno-BN agar dapat terus menjadi kerajaan di Johor.
Pesuruhjaya PAS Johor Mahfodz Mohamed berkata sokongan yang dijanjikan oleh parti itu tidak mengharapkan apa-apa balasan atau ganjaran daripada BN.
Keinginan PAS, kata Mahfodz hanyalah mahu melihat Johor ditadbir oleh sesiapa saja yang bukan daripada pemimpin PH.
"PAS Johor pun tidak mengharapkan apa-apa balasan. Matlamat PAS dan Umno Johor sama... no DAP," katanya kepada Malaysiakini.
Malam tadi Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa parti itu sentiasa sedia menampung sebarang keperluan Umno-BN dalam PRN kali ini, sama ada mencukupkan majoriti - jika kurang - atau mengukuhkan majoriti agar mencapai dua per tiga.
Bagaimanapun Abdul Hadi memberitahu, ia bergantung kepada jumlah kerusi yang akan dimenangi PAS pada Sabtu ini.
PAS meletakkan calon bagi merebut 11 daripada 56 kerusi yang ada di Johor. Pada masa sama PAS mengarahkan penyokong mereka memberikan undi kepada BN - termasuk MCA dan MIC - di kawasan yang tiada calon PN.
BN dan PH pula bertanding di semua 56 kerusi. Jumlah ambang untuk menubuhkan kerajaan negeri adalah 29 kerusi.
Bantu bentuk kerajaan Melayu Islam
Bagaimanapun, di sebalik keterbukaan yang ditunjukkan Abdul Hadi, BN Johor dilaporkan menolak pelawaan tersebut, malah memberi jaminan PAS tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan jika mereka memenangi PRN nanti.
Pengerusi BN Johor merangkap menteri besar sementara, Onn Hafiz Ghazi, turut menepis dakwaan dia bersedia memperuntukkan jawatan Adun lantikan kepada pemimpin PAS.
Menurut Mahfodz, tujuan PAS mengarahkan ahlinya memberikan undi kepada semua calon BN itu ialah bagi membolehkan "kerajaan Melayu Islam" didirikan di Johor.
"Apa yang penting perpaduan ummah dan Johor terus dipimpin orang Melayu Islam, bukan PH dan DAP.
"Saya (PAS Johor) tidak minta apa-apa ganjaran, maka kami tak harapkan apa apa balasan daripada Umno Johor," kata Mahfodz lagi.
Dia yang pernah memimpin Dewan Ulama PAS Pusat itu turut mengulangi Abdul Hadi tentang membantu Umno dan BN menubuhkan kerajaan Johor sekiranya tidak mempunyai bilangan kerusi mencukupi.
"Kita harap Umno Johor jangan sombong. Kalau ditakdirkan Umno tak cukup kerusi bentuk kerajaan, PAS sedia bantu untuk tubuhkan kerajaan.
"Dulu 40 kerusi, kalau (kali ini menang) tak sampai 30 kerusi macam mana?
“Kalau Umno kurang kerusi untuk tubuh kerajaan PAS sedia bantu untuk tubuh kerajaan Melayu Islam," tambahnya.
