Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dendam lama rakan sekolah disyaki punca remaja ditikam di Banting
Diterbitkan:  Jul 9, 2026 3:49 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Rasa tidak puas hati yang dipendam terhadap rakan dipercayai menjadi punca kejadian kes tikam seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat, Isnin lepas.

Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata bagaimanapun berdasarkan siasatan awal, termasuk keterangan direkodkan daripada beberapa individu serta 10 pelajar yang namanya tersenarai dalam nota tular menerusi media sosial, mendapati kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan unsur buli.

Dia berkata siasatan awal turut mengenal pasti beberapa faktor lain yang dipercayai menyumbang kepada kejadian itu, termasuk tekanan dialami suspek berusia 15 tahun itu.

“Saya minta beri peluang kepada pegawai penyiasat bagi membuat siasatan sepenuhnya dan dapat membuat kesimpulan secara betul. Itu hanya hasil siasatan awal setakat ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

Dalam pada itu, Shazeli tidak menafikan terdapat laporan polis mengatakan suspek terjun dari bangunan di sekolah terbabit tahun lepas namun perkara itu sedang disiasat termasuk semakan bersama pakar-pakar kaunseling ditemui suspek.

Mengulas lanjut, dia berkata insiden berkenaan dipercayai berlaku apabila suspek mengambil peluang untuk masuk ke dalam sekolah ketika pagar dalam keadaan terbuka namun menegaskan perkara itu terjadi bukan disebabkan kelemahan pihak sekolah.

Shazeli berkata suspek turut mendakwa membeli pisau yang digunakan dalam insiden itu secara dalam talian dan menyimpannya di dalam beg galas untuk dibawa ke sekolah pada hari kejadian.

“Suspek tiba di sekolah melalui pintu depan dengan menaiki kenderaan e-panggilan. Dia mengambil peluang masuk ke dalam kawasan sekolah ketika pintu pagar (utama) terbuka namun mungkin ketika itu berlaku pergerakan keluar masuk (kenderaan dan individu lain) melalui pintu tersebut,” katanya.

Dia berkata suspek didapati lapan bulan tidak bersekolah, tetapi belajar di rumah secara home schooling kerana pada waktu tersebut dia menghadapi masalah kesihatan.

Shazeli turut mengesahkan pihaknya menerima satu kad Orang Kurang Upaya (OKU) autisme atas nama suspek.

Mengenai keadaan mangsa, dia berkata pelajar berkenaan kini berada dalam keadaan stabil di hospital dan sedang dalam tempoh pemulihan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS