Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dadah: Bekas 'bodyguard' terlepas hukuman mati, dipenjara 30 tahun

Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman mati terhadap seorang bekas pengawal peribadi dengan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi setiap daripada tiga pertuduhan mengedar dadah, enam tahun lepas.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan itu terhadap Muhammad Hafiz Daniel Abdullah, 42.

Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapannya pada 3 Julai 2020.

Bagaimanapun, hanya 24 sebatan akan dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang mengehadkan jumlah maksimum sebatan yang boleh dikenakan terhadap seseorang pesalah.

Mahkamah menolak rayuan Muhammad Hafiz terhadap sabitan, namun membenarkan rayuannya untuk mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman penjara 30 tahun serta 12 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Menyampaikan keputusan sebulat suara panel itu, Hakim Hayatul Akmal berkata isu utama yang dipertimbangkan ialah sama ada kelewatan Mahkamah Tinggi selama kira-kira tiga tahun menyediakan alasan penghakiman, selain dakwaan beberapa salah arah oleh hakim bicara, telah menjejaskan integriti penghakiman sehingga memudaratkan perayu.

Beliau berkata tanpa bukti kukuh yang menunjukkan sebaliknya, Mahkamah Rayuan perlu menganggap hakim Mahkamah Tinggi telah menjalankan fungsi kehakimannya dengan sewajarnya dan membuat keputusan selepas meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan.

"Kelewatan semata-mata, tanpa dibuktikan wujud prejudis terhadap perayu, tidak mencukupi untuk menolak anggapan tersebut," katanya.

Beliau turut memutuskan bahawa perayu gagal membuktikan wujud prejudis sebenar terhadap dirinya akibat kelewatan penyediaan alasan penghakiman.

Muhammad Hafiz berdepan tiga pertuduhan mengedar dadah serta satu pertuduhan mengikut Akta Racun 1952.

Pada 13 Dis 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas kesalahan mengedar 10,865.9 gram methamphetamine, 27.3 gram heroin dan 94.6 gram monoasetilmorfin, sebelum menjatuhkan hukuman mati. Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadapnya kerana memiliki 10,000 gram etizolam.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Pearl Suria Residence, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, pada 6 Julai 2020.

Pada prosiding rayuan, Muhammad Hafiz diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Low Wei Loke dan Naizatul Zamrina Karizaman, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fuad Abdul Aziz.

Naizatul Zamrina kemudian memberitahu media bahawa Mahkamah Rayuan turut memerintahkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan di bawah Akta Racun 1952 berjalan serentak dengan hukuman penjara 30 tahun yang dikenakan bagi kesalahan mengedar dadah.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS