Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
81 pegawai imigresen dikenakan tindakan tatatertib, 14 dibuang kerja

Sebanyak 81 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) telah dikenakan tindakan tatatertib atas pelbagai kesalahan salah guna kuasa dan rasuah bagi tempoh 1 Jan hingga Jun tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban (gambar) berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 14 individu telah diambil tindakan tegas dibuang kerja.

Beliau berkata tindakan dalaman itu membuktikan komitmen tinggi jabatan dalam membersihkan imej agensi berkenaan daripada sebarang isu salah laku.

"Ini menunjukkan kita memang serius dalam mengatasi masalah integriti dalam kalangan pegawai-pegawai Imigresen.

"Secara kumulatifnya, dari 2023 hingga 2026, sebanyak 834 pegawai Imigresen telah diambil tindakan tatatertib dan dijatuhkan hukuman, dengan 69 orang daripadanya telah dibuang kerja," katanya ketika ditemui pada Program Jalinan Imigresen Bersama Media 2026 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai penahanan terbaharu melibatkan pegawai Imigresen oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zakaria mengesahkan 11 pegawainya kini ditahan bagi membantu siasatan melibatkan salah guna kuasa dan rasuah.

Beliau berkata tangkapan tersebut melibatkan pegawai yang bertugas di Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Selangor.

"Saya ingin maklumkan di sini, kita tidak sekali-kali berkompromi soal salah laku yang dilakukan oleh pegawai kita, sama ada dia bersubahat ataupun bersekongkol dengan mana-mana pihak untuk kepentingan mereka.

“Kesemua pegawai yang ditahan itu akan 'direhatkan' daripada tugasan hakiki sementara menunggu proses siasatan oleh pihak SPRM selesai bagi memastikan mereka tidak lagi terlibat dengan sebarang aktiviti salah laku,” katanya.

Zakaria berkata Imigresen meletakkan tiga teras utama dalam pelan pemerkasaan jabatan, iaitu mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan, menambah baik sistem penyampaian servis kepada pelanggan, dan memperkasakan integriti pegawai.

"Kita tidak akan berkompromi.. tidak kira di tahap mana mereka berada, sama ada pegawai kanan atau pegawai bawahan, tindakan yang sama tetap akan diambil. Tiada istilah pilih kasih atau melindungi mana-mana pegawai," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya melaksanakan 6,237 operasi penguatkuasaan di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Jan hingga 30 Jun lepas, dengan 36,900 pendatang tanpa izin dan warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Katanya, 978 majikan turut ditahan kerana dipercayai menggaji warga asing tanpa permit sah atau melanggar peruntukan Akta Imigresen.

"Bagi Jun sahaja, Imigresen melaksanakan 1,154 operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 13,078 individu dengan 4,093 tangkapan dibuat, termasuk 133 majikan.

“Tindakan akan kita pertingkatkan lagi dan kita akan teruskan tanpa henti," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS