mk-logo
Berita
Wan Saiful: Bersatu jangan mengigau, Wawasan dah ‘move on’
1

Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) Wan Saiful Wan Jan menolak dakwaan Hamzah Zainudin mendalangi tindakan sejumlah pemimpin dan ahli meninggalkan Bersatu.

Sebaliknya, ahli parlimen Tasek Gelugor itu berkata keputusan berkenaan berpunca daripada masalah dalaman Bersatu sendiri dan bukannya campur tangan Hamzah, yang kini menerajui Wawasan sebagai presiden.

Menurut Wan Saiful, tidak masuk akal untuk mana-mana pihak mengaitkan pemimpin Wawasan dengan peletakan jawatan atau tindakan keluar parti yang berlaku dalam Bersatu.

"Penyokong Bersatu yang cuba mengaitkan mana-mana pemimpin Wawasan dengan perletakan jawatan dan tindakan keluar dari parti itu perlu 'move on'. Berhentilah mengigau mengenai Wawasan.

"Masalah yang melanda Bersatu adalah disebabkan oleh sikap pemimpin tertinggi Bersatu sendiri," katanya kepada Malaysiakini.

Wan Saiful berkata Wawasan kini memberi tumpuan untuk membina parti dan berkhidmat kepada rakyat, bukannya mencampuri kemelut dalaman Bersatu.

Kenyataan itu menyusul selepas Adun Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mendakwa Hamzah, yang juga bekas timbalan presiden Bersatu, menyusun gerakan membawa ahli parti berkenaan keluar sebelum menyertai Wawasan.

Mohd Ashraf mengaitkan dakwaan itu dengan tindakan bekas setiausaha Bersatu Perlis, Azahar Hassan, yang mengumumkan penyertaannya dalam Wawasan kelmarin, kira-kira 24 jam selepas keluar daripada Bersatu.

Adun Kota Siputeh Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir bersama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Azahar, yang juga bekas timbalan ketua Bersatu Kangar, bagaimanapun kekal sebagai ahli Dewan Negara.

Perkembangan itu berlaku tidak lama selepas Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

"Azhar ini orang kanan Bakar, semalam letak jawatan terus sertai parti Hamzah...dia orang dalam bahagian Bakar," kata Mohd Ashraf kepada Malaysiakini.

Mohd Ashraf turut tidak menolak kemungkinan Abu Bakar, yang juga ketua Bersatu Kangar akan menyusul menyertai Wawasan.

"Difahamkan, orang-orang dia ini memang pro kepada Hamzah. Hamzah dah lobi mereka daripada awal," dakwa Mohd Ashraf lagi.

Dia turut mendakwa bahagian Bersatu Kangar yang dipimpin Abu Bakar tidak aktif dan gagal menganjurkan program parti berbanding bahagian lain di Perlis.

"Bahagian mereka dah boleh kata tidak aktif, mana ada buat aktiviti Bersatu, tiada majlis berbuka puasa, sambutan Aidilfitri, sambutan Hari Raya Korban Bersatu pun tak pernah.

"Memang tidak ada langsung bawa nama Bersatu. Apatah lagi nak bantu kempen untuk Bersatu. Mesyuarat langsung tak pernah pergi," kata Mohd Ashraf.

Exco kerajaan negeri Perlis, Marzita Mansor.

Bagaimanapun, Mohd Ashraf berkata Bersatu Perlis masih mempunyai ramai pemimpin yang mampu menggalas tanggungjawab menerajui parti sekiranya terdapat ahli atau pemimpin yang memilih untuk keluar.

Selain Abu Bakar, Adun Sena yang juga exco kerajaan negeri Perlis, Marzita Mansor turut menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai anggota MPT Bersatu pada minggu lalu.

Wan Saiful bagaimanapun menepis dakwaan Mohd Ashraf dan menegaskan perkembangan dalam Bersatu berpunca daripada kelemahan serta tindakan kepimpinan parti itu sendiri.

"Sekarang ini ahli-ahli Bersatu boleh lihat sendiri bagaimana pemimpin mereka menolak usaha menyatukan kuasa politik Melayu.

"Dari segi dalaman pula, amat jelas bagaimana peraturan parti dipergunakan untuk kepentingan politik peribadi," katanya.

Wan Saiful dipecat daripada Bersatu pada Oktober tahun lalu atas alasan melanggar perlembagaan dan kod etika parti.

Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang pada mulanya digantung keahlian selama satu penggal, kemudian turut dipecat pada 13 Feb lalu.

"Sebahagian ahli parlimen dipecat tapi sebahagian lagi digantung, walaupun pertuduhan ke atas mereka adalah sama. Bersatu berbuat begini kerana mereka mahu menyekat mereka dari berpindah ke parti lain.

Gambar fail, Wan Saiful bersama Muhyiddin.

"Jika peraturan parti boleh diperkuda sebegitu, cuba bayangkan apa akan jadi jika Bersatu memegang kuasa kerajaan.

“Peraturan dan undang-undang ditunggang untuk kepentingan peribadi dan semua ahli yang peka tahu perkara ini

"Sebab itulah semakin ramai yang meninggalkan Bersatu. Bukan sebab campur tangan sesiapa.

“Tapi sebab Bersatu sudah hilang hala tuju dan tidak konsisten," jelas Wan Saiful lagi.

Pada 6 Julai lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) meluluskan pertukaran nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara.

Kelulusan itu turut meliputi pertukaran alamat, pindaan perlembagaan parti serta penggunaan bendera, lambang, tanda dan lencana Wawasan.

Sejak itu, beberapa ahli Bersatu dilaporkan meninggalkan parti dan menyertai Wawasan, yang diterajui Hamzah bersama beberapa bekas pemimpin Bersatu yang pernah dikenakan tindakan tatatertib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS