Bekas menteri, Annuar Musa mempersoalkan pertelagahan terbuka antara dua menteri kerajaan Madani susulan kenyataan media Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Abd Kadir yang membidas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Dalam hantaran di media sosial semalam, Annuar berkata pertikaian itu menunjukkan konflik dalam kerajaan semakin meruncing.
"Tak cukup serang menyerang antara PH vs BN di Negeri Sembilan dan Johor, kini melarat ke kabinet. Parah," katanya.
Kenyataan Annuar dibuat susulan kenyataan terbuka Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Kadir yang membidas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming semalam.
Zambry semalam berkata dia membidas sekeras-kerasnya kenyataan tidak bertanggungjawab Nga yang melabelkan KPT "lembab seperti kura-kura" berhubung pelaksanaan keputusan berkaitan laluan kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke universiti awam.
"Ingin saya tegaskan bahawa setiap keputusan yang diipersetujui oleh jemaah menteri merupakan keputusan bersama yang belandaskan prinsip tanggungjawab kolektif (collective responsibility).
"Ia akan disusuli dengan tindakan menyeluruh dan proses yang turut melibatkan penyelarasan dengan kementerian Pendidikan Malaysia dan pelbagai agensi berkaitan.
"Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pandangan, tempat untuk membincangkannya ialah di meja jemaah menteri, bukannya kenyataan terbuka yang tidak menghormati tatakelola mesyuarat jemaah menteri," kata Zambry dalam satu kenyataan media.
Mengulas lanjut Annuar menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu yang membimbangkan dan mendakwa kabinet kerajaan kini sudah "rosak" serta sukar dipulihkan.
Sehubungan itu, Annuar turut menggesa agar kabinet dibubarkan.
"Bubar sajalah kabinet..rosak beyond repair dah,"katanya.
