Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari tampil mempersoalkan sama ada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming akan meletak jawatan susulan kemenangan besar BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam hantaran Facebook miliknya, Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut mempersoalkan sama ada Nga akan menunaikan janjinya itu.
"Adakah akan dikotakan janji ini?" katanya, dalam hantaran beserta gambar Nga.

Baru-baru ini, dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Nga yang juga Timbalan Pengerusi DAP dilapor akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan jika BN menang dalam PRN Johor dan Najib Razak dibebaskan.
Menurutnya, DAP juga tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan ‘garis merah’ parti tersebut.
PRN Johor hari ini tamat dengan menyaksikan keputusan tidak rasmi BN menang di 49 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memang di tujuh kerusi.
Veteran Umno Malaysia turut menggesa agar Nga melepaskan jawatan seperti yang dijanjikannya.
Setiausahanya Mustapha Yaakub, dalam satu kenyataan berkata, kemenangan BN di Johor sememangnya memalukan buat DAP.
"Kemenangan besar BN telah memalukannya sebagai seorang pemimpin DAP yang celupar dan angkuh.
"Veteran mendesak dan mencabar Nga supaya dengan segara meletak jawatan dari kabinet seperti yang dijanjikan demi maruah," katanya.

Tambahnya, kemenangan itu juga tamparan besar buat Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pengerusi PH.
"Kemenangan cemerlang BN ini juga menjadi satu tamparan kepada PMX yang turun berkempen dengan cara yang kurang siuman dan penuh retorik maki hamun," tambahnya.
