Bersih kecewa Rashid tangguh pertemuan
Gabungan Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih) kecewa dengan tindakan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menangguhkan pertemuannya dengan gabungan tersebut berhubung beberapa isu perjalanan pilihanraya umum, yang dijadualkan diadakan jam 11 pagi tadi.
Ahli Jawatankuasa Bersih, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi berkata, sebelum ini, Abdul Rashid telah bersetuju untuk mengadakan pertemuan tersebut dengan Bersih.
Bagaimanapun, katanya, beliau dimaklumkan oleh Abdul Rashid pagi tadi mengenai penangguhan tersebut ke tarikh lain.

"Saya terkejut dengan penangguhan secara tergesa-gesa itu kerana Abdul Rashid tidak memberi sebarang alasan, sedangkan beliau telah setuju bertemu Bersih di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
"Beliau (Abdul Rashid) mahu satu tarikh baru untuk mengadakan pertemuan tersebut tetapi beliau tidak memberitahu bila.
"Bersih mahu ia diadakan secepat mungkin, iaitu sebelum pembubaran Parlimen yang dijangka pada bila-bila masa," katanya ketika dihubungi hari ini.
'Celup jari'
Dr Syed Azman yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS berkata, antara isu-isu utama yang mahu dibincang dengan Abdul Rashid adalah mengenai penggunaan dakwat kekal dan undi pos. Bersih menuntut supaya undi pos dihapuskan.
"Penggunaan dakwat kekal seperti yang dituntut oleh Bersih sehingga hari ini masih tidak jelas kerana bagi SPR ia bukan keperluan wajib.
"SPR memberitahu, pengundi yang enggan menggunakan dakwat boleh mengisi borang B untuk mendapatkan pengecualian dan mengundi seperti biasa," katanya.
Dr Syed Azman berkata, mencalit dakwat di jari telunjuk seperti yang mahu dilaksanakan SPR dalam pilihanraya umum kali ini sebenarnya bukan tuntutan Bersih.
Sebaliknya, kata beliau, apa yang dituntut Bersih ialah mencelup sebatang jari bagi mengelak pengundi daripada mengundi berulang kali.
Bersih, kata Syed Azman, juga mahu mendapatkan penjelasan bagaimana 1,031 pengundi di kalangan anggota tentera dari kem Sungai Petani dipindahkan ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek dalam kawasan Parlimen Sik.
Pindah pengundi
Beliau berkata, pemindahan pengundi itu membuktikan kebimbangan Bersih bahawa senarai daftar pengundi yang dibuat SPR tidak telus, ada kebenarannya.
Semalam, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mendakwa, anggota tentera dari Kem Sungai Petani itu dipindahkan ke DUN Belantek selepas tempoh bantahan senarai pemilih tamat.
"Semasa pameran daftar pemilih terakhir (bagi suku tahun terakhir tahun lalu), kami mendapati nama-nama anggota tentera terbabit tiada dalam senarai pemilih tetapi berjaya dikesan selepas tempoh bantahan," kata Mahfuz.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub memberi amaran supaya SPR tidak mempermain-mainkan undang-undang pilihanraya.
Katanya, ini kerana beliau tidak mahu rakyat yang tidak puas hati dengan SPR akan mengambil tindakan sendiri.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, SPR seolah-olah mempermain-mainkan tuntutan Bersih supaya mengadakan pilihanraya yang adil dan telus.