Jumlah mangsa banjir di Melaka berkurang kepada 800 orang daripada 266 keluarga setakat 5 petang ini, berbanding 983 orang daripada 312 keluarga pada 8 pagi tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarajat (JKM) melaporkan kesemua mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu, dengan empat daripadanya di daerah Melaka Tengah dan masing-masing satu di Alor Gajah dan Jasin.
Menurut portal berkenaan, Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di daerah Jasin merupakan PPS baharu dibuka yang menempatkan 31 mangsa daripada 11 keluarga.
Di daerah Melaka Tengah, sebanyak 519 mangsa daripada 175 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Tanjung Minyak 2, manakala PPS SK Taman Bukit Rambai pula menempatkan 178 mangsa daripada 53 keluarga.
Di Dewan Japerun Pantai Kundor pula terdapat 44 mangsa daripada 18 keluarga, manakala 23 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di SK Bertam Hulu.
Sementara itu, di daerah Alor Gajah terdapat lima mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Jeram, manakala PPS Bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah pula ditutup pada 3 petang tadi.
Menurut portal itu, jumlah mangsa terlibat terdiri daripada 537 dewasa, kanak-kanak (249) dan bayi (14).
- Bernama
