Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan esok sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh negeri Johor.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pengisytiharan itu adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor, yang telah menunaikan tanggungjawab serta amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semalam.
“Suka saya kongsikan atas limpah perkenan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Pemangku Sultan Johor, Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan hari Isnin, 13 Julai 2026 sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
PRN Johor ke-16 menyaksikan BN memperoleh mandat selepas mencatatkan kemenangan majoriti dua pertiga, dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz menzahirkan setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail, atas limpah perkenan serta kepercayaan terhadap pelantikannya sebagai Menteri Besar Johor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata beliau akan terus melaksanakan amanah itu dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor.
“Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan Bangsa Johor.
“Justeru, saya berdoa agar Allah SWT terus membimbing setiap langkah, mengurniakan kebijaksanaan dalam membuat keputusan serta menetapkan hati saya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab ini,” katanya.

Beliau turut memohon doa daripada seluruh Bangsa Johor agar Allah SWT terus memimpin dan mempermudahkan segala urusan anggota Kerajaan Negeri.
“Semoga setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti. Semoga setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan-Nya. Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di hadapan Tunku Mahkota Ismail.
- Bernama

