Satu lagi permohonan dibuat supaya seorang lagi anggota suruhanjaya diraja yang menyiasat kesahihan klip video Lingam - Datuk Mahadev Shankar - menarik diri daripada mendengar siasatan tersebut.

Kali ini, permohonan dikemukakan oleh saksi siasatan tersebut, bekas Ketua Hakim Negara Tun Eusoff Chin menerusi peguamnya Datuk Hazman Ahmad.

Bagaimanapun, suruhanjaya diraja itu memerintahkan Hazman supaya mengemukakan permohonan secara bertulis beserta kenyataan sokongan dari Eusoff dan sumber lain.

lingam tape panel meeting 031007 mahadev shankar Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan dianggotai oleh Mahadev (foto), Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Khim.

Hazman mempersoalkan kenapa beliau tidak boleh mengemukakan permohonan secara lisan sepertimana dilakukan oleh peguam Karpal Singh sebelum cuti Tahun Baru Cina yang meminta Haidar menarik diri daripada suruhanjaya diraja itu, demikian menurut Bernama.

Bagaimanapun, Mahadev meminta Hazman berbuat demikian kerana suruhanjaya telah membuat peraturan bahawa semua permohonan perlu dibuat secara bertulis.

"Terima kasih atas pendirian yang anda telah ambil," kata Mahadev sambil menambah beliau mahu memastikan semua pihak mengemukakan kenyataan secara bertulis.

'Hubungan kekeluargaan'

Hazman kemudian berkata:"Ia bukan bersifat peribadi, saya lakukannya atas arahan anak guam saya".

Katanya beliau akan mengemukakan permohonan secara bertulis dan akan serahkannya kepada suruhanjaya hari ini.

Pada 5 Februari, prosiding hampir terhenti apabila Karpal Singh yang mewakili penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peguam M Manoharan memohon supaya Haidar menarik diri daripada mempengerusikan suruhanjaya itu atas alasan beliau mempunyai pertalian dengan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz yang didakwa turut disebut dalam klip video tersebut.

Karpal mendedahkan adik Haidar pernah berkahwin dengan allahyarham abang Ahmad Fairuz dan pertalian itu disahkan oleh Haidar yang menjelaskan perkahwinan antara adiknya dan abang beliau telah berakhir 30 tahun lalu apabila abang beliau meninggal dunia pada 1973.

Permohonan itu ditolak oleh Haidar yang berkata yang beliau berpendapat perkahwinan itu telah berakhir lebih 30 tahun lalu dan beliau jarang berhubungan dengan Ahmad Fairuz atau keluarganya selain di tempat kerja.

Pada hari pertama siasatan itu pada 14 Januari lalu, suruhanjaya itu juga menolak permohonan peguam yang mewakili Anwar, M Puravelan supaya Haidar dan Shim menarik diri daripada prosiding.

Sementara itu, suruhanjaya diraja itu memutuskan bahawa di peringkat ini tidak perlu bagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) M Manoharan hadir memberikan keterangan bagi mematahkan dakwaan Datuk VK Lingam bahawa Manoharan diarah oleh adik lelaki Lingam untuk memeras ugut wang dari Lingam.

Minta akuan berkanun

Bagaimanapun, Mahadev memerintahkan Manoharan mengemukakan akuan berkanun untuk diteliti oleh suruhanjaya untuk membuat keputusan sama ada keterangan Manoharan relevan dalam siasatan tersebut.

Mahadev berkata jika suruhanjaya memutuskan Manoharan perlu memberikan keterangan, beliau akan dipanggil.

"Suruhanjaya akan membuat laporan dan rumusan penemuan berhubung perkara ini. Perkara dalam siasatan ini berkenaan dengan pelantikan dan urusan pengaturan pelantikan hakim.

"Keterangan peguam (Lingam) mengenai Manoharan cuba memeras ugut wang daripadanya (Lingam) merupakan dakwaan yang serius. Beliau patut diberikan peluang untuk mematahkannya tetapi isu itu perlu penting kepada suruhanjaya," katanya.

Mahadev berkata perkara itu adalah isu sampingan dan bukannya isu utama untuk diputuskan oleh suruhanjaya.

"Kami boleh buat rumusan kami sendiri daripada apa yang dikemukakan setakat ini, kami lihat dulu akuan berkanun itu dan buat keputusan mengenainya," kata Mahadev.

Mahu jawab dakwaan

Isu itu timbul selepas peguam Karpal Singh yang mewakili Manoharan mahu anak guamnya hadir di siasatan tersebut untuk mematahkan dakwaan oleh Lingam bahawa Manoharan memeras ugut wang daripada Lingam atas arahan VK Thirunama.

Karpal berkata tidak sukar bagi suruhanjaya itu mengeluarkan perintah bagi Manoharan hadir dalam siasatan itu tetapi suruhanjaya perlu memberikan alasan yang kukuh kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

temple demolition court case 260307 m manoharan Manoharan, 46, yang juga seorang peguam ditahan pada 13 Disember tahun lalu atas dakwaan terbabit menganjurkan perhimpunan haram di ibu kota pada 25 November tahun lalu dan membuat kenyataan memfitnah terhadap kerajaan.

Haidar pula berkata:"Isu itu adalah sama ada betul atau sebaliknya dakwaan oleh Lingam bahawa Manoharan telah menuntut wang bagi pihak anak guamnya Thirunama). Thirunama berkata dakwaan itu tidak benar, jadi sejauhmana peguam yang mewakili Lingam boleh memeriksa Manoharan".

Haidar berkata jika suruhanjaya itu meneruskan dengan isu itu, maka ia akan mengambil masa untuk membuat keputusan dan melanjutkan lagi tempoh prosiding dan pada masa yang sama, suruhanjaya bukan berhasrat untuk menafikan sesiapa daripada memberikan keterangan di siasatan tersebut.

"Pada ketika ini kami mengambil pendirian bahawa anak guam anda perlu memfailkan akuan berkanun dan ia memadai di peringkat ini," katanya.