ANALISIS | Data peratusan keluar mengundi dan perkongsian undi daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru berakhir menunjukkan sebilangan besar pengundi yang sebelum ini menyokong Pakatan Harapan (PH) tidak keluar mengundi pada Sabtu lalu.
Walaupun analisis awal mendapati perkongsian undi PH meningkat berbanding pilihan raya negeri lalu, perbandingan yang lebih tepat sebenarnya perlu dibuat dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam pilihan raya Sabtu lalu, peratusan keluar mengundi mencecah 69.6 peratus berbanding 75.5 peratus pada pilihan raya persekutuan November 2022 dan 54.9 peratus pada PRN Mac 2022.
Dari segi jumlah sebenar pengundi, seramai 1.89 juta rakyat Johor membuang undi pada Sabtu lalu, hanya kurang kira-kira 78,000 orang berbanding PRU15.
Namun, meskipun peratusan keluar mengundi kali ini hampir menyamai pilihan raya umum lalu, perkongsian undi PH tidak menunjukkan pencapaian setara.
Perkongsian undi gabungan itu sebanyak 32.6 peratus merosot 9.7 mata peratusan, bersamaan kira-kira 213,200 undi, berbanding PRU15 — jauh melebihi penurunan jumlah pengundi yang keluar mengundi.
Keadaan ini menguatkan tanggapan bahawa rasa kecewa dalam kalangan penyokong PH semakin meningkat, khususnya pengundi bukan Melayu, seperti yang diperhatikan Malaysiakini dan pihak lain sepanjang tempoh kempen.

Ia termasuk gelombang kemarahan dan sikap tidak peduli terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta gabungan itu susulan janji yang tidak ditunaikan, peningkatan kos sara hidup dan rasa semakin dipinggirkan dari segi politik.
Ditambah pula dengan penyatuan undi Melayu, termasuk undi penyokong PN di belakang BN, keadaan itu memberi tamparan besar kepada PH dalam PRN Johor.
Peratusan keluar tinggi, undi tak banyak bertambah
Bukti yang menyokong gambaran ini semakin jelas apabila data peratusan keluar mengundi dan perkongsian undi diteliti pada peringkat kerusi.

Dengan beberapa pengecualian, perkongsian undi PH di kebanyakan kerusi lebih hampir kepada pencapaiannya pada Mac 2022, meskipun peratusan keluar mengundi kali ini lebih tinggi.
Sebagai contoh, di Johor Jaya yang menyaksikan DAP tewas kepada MCA, peratusan keluar mengundi meningkat sebanyak 16 mata peratusan berbanding Mac 2022, tetapi perkongsian undi DAP hanya bertambah 1.2 mata peratusan.
Di Yong Peng, kerusi yang mungkin dimenangi PH sekiranya PRN 2022 diadakan serentak dengan PRU15 pada November, peningkatan perkongsian undinya juga tidak sepadan dengan kenaikan peratusan keluar mengundi.
Prestasi PH begitu buruk sehingga analisis electiondata.my mendapati, sekiranya PRU16 diadakan Sabtu lalu, gabungan itu hanya akan memenangi satu kerusi parlimen di Johor, iaitu Bakri — merosot dari 15 kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Sekiranya trend ini berterusan pada PRN Negeri Sembilan yang akan bermula Sabtu ini, ia boleh membawa bencana kepada PH yang menerajui kerajaan negeri berkenaan sejak 2018.

Keadaan itu juga boleh melemahkan justifikasi kewujudan gabungan Madani, dengan BN berkemungkinan lebih cenderung meneroka kerjasama bersama PAS sekiranya langkah itu membolehkan mereka membuat kemunculan semula besar di peringkat persekutuan, daripada sekadar terus berpaut pada PH untuk bertahan.

