Kerajaan akan mengemukakan usul pada Selasa (14 Julai) untuk merujuk Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat (RUU FOI) 2026 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK), selepas mengambil maklum pandangan pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan terhadap beberapa aspek draf berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata jawatankuasa itu akan ditubuhkan mengikut Peraturan Mesyuarat 81(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dijangka pada hari esok, 14 Julai.
"Pandangan (CSO dan pihak berkepentingan) ini mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan undang-undang yang bakal digubal benar-benar memenuhi matlamat reformasi dan menepati amalan terbaik," katanya pada satu kenyataan hari ini.
"Langkah ini akan membolehkan penelitian yang lebih menyeluruh terhadap setiap fasal Rang Undang-Undang melalui libat urus bersama ahli parlimen daripada kedua-dua belah pihak serta pelbagai pihak berkepentingan," jelasnya.

Pengumuman itu dibuat selepas sekumpulan NGO termasuk Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Article 19 Malaysia dan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa kerajaan menarik balik RUU berkenaan yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam kenyataan bersama, kumpulan itu menyifatkan RUU tersebut sebagai “pengkhianatan terhadap hak rakyat untuk tahu” kerana mendakwa ia gagal memenuhi prinsip asas kebebasan maklumat, malah berpotensi mengukuhkan budaya kerahsiaan dalam pentadbiran kerajaan.
Mereka berkata meskipun usaha memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat di peringkat persekutuan dialu-alukan, versi RUU yang dibentangkan bukan reformasi seperti dijanjikan kepada rakyat.
“RUU FOI ini bukanlah mercu tanda reformasi yang dijanjikan kepada orang awam di Malaysia. Perundangan ini sangat bermasalah, regresif serta mewujudkan prosedur pentadbiran yang menyekat dan tidak selaras dengan standard undang-undang hak asasi antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kumpulan berkenaan, RUU itu gagal mengiktiraf akses kepada maklumat sebagai hak asas, sebaliknya hanya menyediakan prosedur pentadbiran bagi memohon maklumat.
Mereka mendakwa pendekatan tersebut lebih mempromosikan budaya kerahsiaan berbanding keterbukaan dan ketelusan.
Antara kebimbangan utama dibangkitkan termasuk pengecualian menyeluruh terhadap dokumen yang dilindungi undang-undang bertulis lain, termasuk Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
Kumpulan itu berkata tindakan mengekalkan perlindungan OSA tanpa semakan mencukupi akan “memberi keabsahan dan menyuburkan budaya kerahsiaan yang berlebihan” berbanding menggalakkan pendedahan maklumat.

Mereka turut mempersoalkan skop pengecualian dalam RUU FOI yang disifatkan terlalu luas dan kabur serta tidak disertakan ujian kemudaratan atau "harm test".
Ujian itu memerlukan kerajaan membuktikan pendedahan sesuatu maklumat benar-benar mendatangkan kemudaratan sebelum ia boleh dirahsiakan.
Menurut mereka, ketiadaan ujian kepentingan awam pula boleh menyebabkan maklumat berkaitan rasuah, salah guna kuasa, kerosakan alam sekitar, ancaman kesihatan awam dan penyalahgunaan dana awam terus disembunyikan.
Kumpulan itu juga mengkritik syarat permohonan maklumat yang mengehadkan akses kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas, selain memerlukan pengesahan identiti dan alasan permohonan.

Menurut mereka, peruntukan liabiliti jenayah terhadap pemohon yang menggunakan maklumat bagi tujuan selain dinyatakan dalam permohonan boleh menimbulkan ketakutan dalam kalangan wartawan, penyelidik, pemberi maklumat dan organisasi masyarakat sivil.
Dalam kenyataan sama, mereka membangkitkan kebimbangan terhadap Fasal 22 RUU FOI yang menyatakan akta itu tidak boleh ditafsirkan sebagai membentuk kebebasan asasi di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.
Mereka mendakwa peruntukan tersebut boleh mengehadkan tafsiran mahkamah terhadap hubungan antara hak mendapatkan maklumat dengan kebebasan bersuara yang dijamin Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Kumpulan itu turut mempersoalkan peranan Ombudsman sebagai badan semakan kerana mendakwa bidang kuasanya tidak mencukupi untuk menyemak keputusan penolakan permohonan melibatkan dokumen rahsia.
Mereka mendakwa kelemahan tersebut menunjukkan RUU FOI itu hanya mewujudkan “ilusi keterbukaan” sambil mengekalkan budaya kerahsiaan.
Sehubungan itu, NGO CIJ, Article 19 Malaysia dan C4 Center bersama organisasi lain menggesa kerajaan menarik balik RUU berkenaan dan merujuknya kepada JKPK untuk penelitian semula.
Wong Chen kecewa
Mereka mencadangkan proses semakan itu melibatkan CSO, wakil media, ahli akademik, profesional undang-undang dan pemegang taruh berkaitan.
Kenyataan bersama berkenaan turut disokong NGO Gerakan Media Merdeka (Geramm), Justice for Sisters, SIS Forum (Malaysia), Sinar Project, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Freedom Film Network, Bersih, Mandiri, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Sabah Reform Initiative (Sari) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen menyifatkan pembentangan awal RUU FOI tersebut sebagai mengecewakan dan menggesa kerajaan melakukan penambahbaikan besar terhadap draf berkenaan.
Bercakap kepada pemberita di luar Bangunan Parlimen, Wong berkata perjuangan mendapatkan undang-undang kebebasan maklumat di Malaysia telah berlangsung sekian lama.
Setakat ini, katanya, hanya Selangor dan Pulau Pinang mempunyai undang-undang berkaitan kebebasan maklumat, namun kedua-duanya masih mempunyai ruang untuk diperbaiki.
"Saya agak terkejut pagi ini apabila rang undang-undang ini diletakkan di atas meja kami sekitar jam 9.30 pagi tadi. Saya melihatnya, mengambil satu salinan, dan apabila mula membacanya, terus timbul rasa kecewa kerana ia bukan seperti yang kita harapkan daripada kerajaan Madani," katanya.
Lindungi OSA
Wong berkata, sebagai ahli parlimen yang menyokong kerajaan Madani, dia akan menyampaikan kebimbangan itu kepada kerajaan kerana mendakwa terdapat masalah asas dalam RUU tersebut.
"Ada sesuatu yang secara fundamental tidak kena dengan rang undang-undang ini. Ia tidak melindungi kebebasan maklumat. Apa yang dilakukan ialah mengehadkan kebebasan maklumat dan melindungi Akta Rahsia Rasmi (OSA)," katanya.
Menurutnya, kerajaan Madani perlu melakukan lebih baik sekiranya mahu meraih semula kepercayaan rakyat terhadap agenda reformasinya.
Dia berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas keseluruhan kandungan RUU itu diteliti bersama beberapa Ahli Parlimen lain.
Wong berharap pandangan wakil rakyat diambil kira dalam proses penelitian seterusnya, termasuk menerusi jawatankuasa khas yang bakal meneliti RUU berkenaan.
Katanya, penelitian menyeluruh diperlukan supaya undang-undang yang akhirnya diluluskan benar-benar memenuhi matlamat reformasi dan bukan sekadar mewujudkan persepsi keterbukaan.

Sementara itu, Azalina berkata kerajaan kekal komited melaksanakan reformasi institusi menerusi penggubalan RUU FOI 2026.
Katanya, RUU ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus baik, di samping meningkatkan akses rakyat kepada maklumat rasmi kerajaan secara teratur dan berlandaskan undang-undang.
Jelas Azalina, pendekatan merujuk kepada jawatankuasa pilihan khas parlimen itu selaras dengan amalan kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi institusi yang besar dan kompleks yang bukan sekadar meluluskan satu undang-undang, tetapi membentuk sebuah kerangka perundangan yang komprehensif, seimbang dan diyakini rakyat.
"Reformasi yang baik ialah reformasi yang mampu bertahan, memperkukuh kepercayaan awam dan terus berfungsi untuk generasi akan datang demi kesejahteraan rakyat dan negara," katanya lagi.
