Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei membatalkan hasratnya untuk bertanding melawan Anthony Loke di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos depan.
Menerusi hantaran di Facebook, Tei, 37, berkata keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada calon MCA.
"Semalam saya telah berjumpa dengan Presiden MCA, Wee Ka Siong dan selepas perbincangan dengan beliau, saya membuat keputusan untuk tarik diri bertanding di DUN Chennah melawan Anthony.
"Saya menyokong penuh calon MCA-Barisan Nasional (BN), John Siow untuk bertanding di kerusi tersebut kerana saya telah membuat saringan bahawa beliau merupakan seorang yang berjiwa rakyat serta berkredibiliti menggalas amanah berkenaan," katanya.
Sebelum ini media melaporkan Tei yang mendedahkan skandal rasuah perlombongan Sabah pada 2024 dan mengaku dirinya memberi rasuah tidak menolak untuk bertanding PRN Negeri Sembilan.
Ini kerana, katanya rakan-rakan dan pengikutnya di media sosial mahu dia berbuat demikian.
Katanya, sasarannya adalah untuk bertanding di kerusi DUN Chennah yang kini disandang oleh Loke dan menumbangkan Pakatan Harapan..
Selain itu, Tei turut memaklumkan bahawa dia berminat menyertai parti daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dan telah pun berbincang dengan pucuk pimpinan.
