Selepas prestasi hambar pada pilihan raya negeri Johor, DAP berikrar akan belajar daripada kekalahan pahit itu ketika bersiap sedia menghadapi satu lagi persaingan sengit di negeri jiran, Negeri Sembilan, yang ia kini memegang 11 kerusi termasuk kerusi Chennah yang disandang oleh setiausaha agungnya, Anthony Loke.

Dalam kenyataan petang ini, jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu mengakui bahawa sesebuah parti politik tidak boleh menilai dirinya sendiri, kerana perkara itu terletak di tangan pengundi.

"DAP akan mendengar dengan lebih dekat, memperkukuh khidmat kawasan dan memperbaiki cara kami berkomunikasi serta mentadbir. Kami membawa pengajaran dari Johor ke Negeri Sembilan dengan rendah hati, disiplin dan tekad untuk bekerja lebih keras.

“Johor telah memberi mesejnya. Kami akan belajar daripadanya. Di Negeri Sembilan, kami akan terus berjuang secara positif untuk mendapatkan mandat baharu dan meneruskan pentadbiran yang stabil, sederhana dan berkhidmat kepada semua,” kata CEC.

Sambil menegaskan bahawa setiap undi yang diterima mewakili amanah manakala setiap undi yang hilang menjadi petanda dan isyarat, CEC berkata ia telah mengenal pasti isu dasar, politik, organisasi dan komunikasi yang memerlukan tindakan lanjut.

Bagi pilihan raya Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan, CEC berkata DAP akan mempertahankan kerusinya dengan mempertaruhkan lapan penyandang dan tiga muka baharu.

“Kami memasuki pilihan raya ini sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri penyandang, dengan rekod pentadbiran, pengalaman dan pasukan yang bersedia menerima mandat untuk mentadbir sekali lagi.

“Kempen kami di Negeri Sembilan akan bersifat positif dan berpandangan ke hadapan. Kami akan mengetengahkan pencapaian kerajaan negeri, rancangan pembangunan, penyelesaian kepada masalah rakyat serta calon yang mampu berkhidmat.

“Kami mahu rakyat membuat pilihan berdasarkan rekod, dasar dan masa depan Negeri Sembilan, bukan politik perpecahan,” tambahnya.

Loke, yang juga pengerusi DAP Negeri Sembilan, akan mempertahankan kerusi DUN Chennah, yang disandangnya sejak 2013.

Kelmarin, analisis Malaysiakini mengenai trend pengundian pilihan raya umum ke-15 mendapati bahawa dalam pertembungan satu lawan satu, BN boleh menewaskan Loke sekiranya PAS memberikan sokongan kepada gabungan tersebut.

DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi itu kini dianggotai oleh BN (14 kerusi), DAP (11), PKR (5), PAS (3), Bersatu (2) dan Amanah (1).

Mengulas mengenai pilihan raya Johor, CEC berkata keputusan tersebut bukan perkara yang disasarkan oleh parti kerana perwakilannya berkurangan daripada 10 kerusi kepada enam kerusi, namun CEC tetap melihat ada sinar harapan berdasarkan jumlah undi yang diterima.

“Sokongan yang diterima tidak cukup luas atau seimbang untuk mempertahankan empat kerusi penentu. Kami menerima tanggungjawab untuk memahami, menangani dan memperbaikinya.

“Selepas tempoh panjang persaingan pelbagai penjuru, sokongan kepada pencabar kami kini berkonsolidasi di belakang jumlah calon yang lebih kecil. Dalam landskap yang jauh lebih mencabar ini, DAP mempertahankan enam daripada sepuluh kerusi penyandang.

"Di sepuluh kerusi tersebut, calon DAP memperoleh 226,592 undi, berbanding 159,769 undi pada tahun 2022. Peningkatan jumlah undi tidak menafikan kehilangan empat kerusi.

“Namun, ia menunjukkan bahawa DAP masih mempunyai asas sokongan yang kukuh untuk dipertahankan, diperluas dan diterjemahkan kepada kemenangan,” tambah CEC.