BN-PH di Melaka ibarat nikah tak berkadi, cerai tak bertalak'- Ab Rauf
Penyertaan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan negeri Melaka selama ini bukannya sebagai rakan rasmi sebaliknya hanya pelengkap atau 'perhiasan' kepada apa yang berlaku di kerajaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas keputusan PH menarik sokongan terhadap kerajaan negeri, hari ini, katanya, BN selepas menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 tidak pernah berjanji untuk bergabung dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan negeri.

Namun, atas semangat kerjasama yang dibentuk di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022, kepemimpinan negeri mengambil pendekatan inklusif dengan memberi ruang kepada wakil PH untuk bersama-sama dalam pentadbiran negeri.
"Sebenarnya dalam pembentukan kerajaan Melaka selepas PRN lalu, kita tidak membentuk kerajaan dengan mana-mana parti lain untuk mendukung pembentukan sebuah kerajaan.
"(Justeru), saya tidak boleh menghalang keputusan parti mereka kerana keberadaan mereka dalam kerajaan ini umpama `kita bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak'...dipersilakan.
"Maksudnya, kita tidak ada satu perjanjian rasmi yang menyebabkan kita boleh tuntut `harta sepencarian' kerana `kita bersanding tidak berpelamin'," katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan DUN Melaka di Seri Negeri, hari ini.

Empat Adun DAP Melaka hari ini mengumumkan peletakan jawatan daripada kerajaan negeri bagi menunaikan janji mereka untuk berundur sekiranya Perlembagaan Negeri dipinda untuk membolehkan pelantikan Adun lantikan.
Terdahulu, Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 diluluskan menerusi undian suara dengan 23 Adun menyokong dan lima membantah.
Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata parti itu tidak boleh kekal berada dalam kerajaan selepas menolak usul yang dibentangkan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga pengerusi BN Melaka, berkata pihaknya menghormati hak mereka untuk membuat keputusan berdasarkan prinsip dan pertimbangan parti masing-masing.
Dia berkata, pihaknya tidak akan menjadikan perbezaan pandangan mengenai dasar sebagai permusuhan peribadi atau alasan untuk menyerang mana-mana pihak.

Katanya, sekiranya terdapat sebarang keputusan rasmi berkaitan kedudukan dalam pentadbiran negeri, perkara berkenaan akan diuruskan secara tertib, profesional dan mengikut undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa.
Pada masa yang sama, katanya, Ab Rauf memberikan jaminan bahawa segala urusan pentadbiran negeri, pelaksanaan projek pembangunan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa.
"Keutamaan saya adalah untuk memastikan bahawa apa-apa keputusan yang diambil tidak melemahkan mandat rakyat, tidak membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan tidak menjejaskan kestabilan negeri Melaka," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/07/13426c73c710a640a7dbb38294681728.jpg)
