Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Melaka mengumumkan peletakan jawatan daripada kerajaan negeri bagi menunaikan janji mereka untuk berundur sekiranya Perlembagaan Negeri dipinda untuk membolehkan pelantikan Adun lantikan.
Terdahulu, Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 diluluskan menerusi undian suara dengan 23 Adun menyokong dan lima membantah.
Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata parti itu tidak boleh kekal berada dalam kerajaan selepas menolak usul yang dibentangkan kerajaan negeri.
“Memandangkan kita telah menolak usul yang dibentang oleh kerajaan, kita tak boleh tolak dan berada dalam kerajaan pada masa yang sama. Itu tidak adil.
“Sebagai basic backbencher sepatutnya mereka perlu menyokong dasar atau usul dalam DUN. Apatah lagi ini usul penting sebab berkaitan perlembagaan negeri," katanya dalam sidang media.
Dia berkata, DAP akan melepaskan semua jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk seorang exco negeri, dua timbalan exco, seorang timbalan speaker, selain semua ketua kampung dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan yang dilantik di bawah kerajaan negeri.

Antara yang meletakkan jawatan ialah Exco negeri Allex Seah, Timbalan Exco Low Chee Leong dan Leng Chau Yen, serta Timbalan Speaker DUN Melaka, Kerk Chee Yee.
Khoo berkata perbincangan diadakan dengan Pengerusi PH Melaka dan Adun Bukit Katil daripada Amanah, Adly Zahari, yang katanya turut bersetuju dengan langkah itu.
Khoo berkata ibu pejabat DAP juga sedia maklum mengenainya.
Dalam sidang DUN sebelum itu, antara yang menyokong pindaan berkenaan ialah Ketua Pembangkang Melaka merangkap Adun Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub.
Hanya tiga Adun mengambil bahagian dalam perbahasan, iaitu Dr Mohd Yadzil (Bersatu), Adun Rim, Khaidhirah Abu Zahar (Umno) dan Adun Kelebang, Lim Bang Hong (MCA).
Walaupun beberapa kali cuba mencelah dan menyuarakan bantahan terhadap pindaan itu, Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee daripada DAP tidak dibenarkan berbuat demikian.
Mengulas sama ada tindakan meletakkan jawatan beramai-ramai itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Khoo berkata perkara berkaitan kerajaan negeri wajar diuruskan di peringkat negeri.
“Bab urusan kerajaan negeri biar kita uruskan, PM ada hal yang lebih besar dan lebih penting nak jaga,” katanya.
Bagaimanapun, dia mengelak untuk menjawab soalan mengenai kesan tindakan DAP itu terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pada masa sama, Khoo turut menyindir Adun Merlimau, Dr Akmal Saleh, dengan mempersoalkan bila pemimpin Umno itu akan menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan daripada kerajaan negeri.
"Jadi kenyataan terakhir saya, bila Akmal hendak letak jawatan?" katanya.
Pentadbiran tak terjejas susulan DAP keluar kerajaan negeri
Dalam sidang media berasingan, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, memberi jaminan bahawa pentadbiran kerajaan negeri tidak akan terjejas susulan keputusan DAP keluar daripada kerajaan negeri.

Menurut laporan Utusan Malaysia, dia berkata BN tidak perlu bergantung kepada mana-mana parti untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.
Dia berkata, BN memperoleh mandat yang mencukupi untuk mentadbir Melaka secara bersendirian, manakala kerjasama yang terjalin bersama parti-parti dalam kerajaan perpaduan hanyalah sebagai manifestasi semangat persefahaman yang diamalkan di peringkat Persekutuan.
“Sebenarnya, dalam pembentukan kerajaan Melaka selepas pilihan raya yang lepas, kita tidak membentuk kerajaan dengan mana-mana parti lain untuk mendukung pembentukan kerajaan.
“Saya mengambil pendekatan supaya semangat persefahaman yang ada di Putrajaya turut diterjemahkan di Melaka tanpa membentuk kerajaan bersama mana-mana parti. Kedudukan mereka lebih kepada melengkapkan semangat perpaduan itu,” katanya seperti dilaporkan.
Mengenai keputusan DAP melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri, Rauf berkata ia adalah hak mutlak parti itu dan dia tidak berhasrat untuk menghalangnya.
“Apa juga keputusan yang dibuat oleh rakan-rakan DAP, termasuk jika mereka menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan ini dan mahu menarik diri daripada kerajaan, saya tidak boleh menghalang keputusan parti mereka.
“Keberadaan mereka dalam kerajaan ini umpama bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak,” katanya sambil berseloroh sehingga mencetuskan gelak tawa pemberita.
