Bekas setiausaha Datuk VK Lingam - L G Jayanthi - memberitahu suruhanjaya diraja bahawa beliau telah diberikan RM3,000 oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) selepas diberitahu bahawa penyiasatan terhadap percutian ke New Zealand membabitkan peguam itu dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Eusoff Chin ditutup.

vk lingam royal commission 120208 jayanthi Menurutnya, seorang pegawai BPR menelefonnya memberitahu bahawa penyiasatan itu ditutup kerana ia melibatkan pegawai tinggi kerajaan.

Jayanthi, 45, tidak menjawab ketika ditanya oleh pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Haidar Mohamed Noor kenapa wang itu diberikan kepadanya.

Kepada soalan lain Haidar mengenai sama ada beliau mengambil wang itu, Jayanthi yang merupakan saksi ke-19 berkata: "Ya".

Menurut Bernama, semasa pemeriksaan semula oleh peguamnya R S N Rayer sama ada RM3,000 itu sebagai ganjaran atau untuk menutup mulutnya, Jayanthi berkata ia hanya diberikan kepadanya tanpa sebarang syarat.

Jayanthi berkata pada 1998, BPR merekodkan kenyataan beliau sebanyak tiga kali dan menurutnya tiga bulan kemudian, seorang pegawai BPR, Wong Chee Kong

menelefon beliau untuk menyatakan kes itu ditutup.

Hantar bunga, kek

Jayanthi bersetuju apabila ditanya oleh Rayer sama ada sepanjang berkerja dengan Lingam, beliau ada mengaturkan penghantaran kek dan bunga ke rumah bekas ketua hakim itu.

Selain penghantaran itu, kata Jayanthi, beliau juga mengeluarkan sejumlah wang yang banyak dari bank tetapi tidak tahu wang itu diberikan kepada siapa.

Kepada soalan seorang lagi peguamnya, Datuk Muhammad Shafee Abdullah, yang cuba mengaitkan hubungan rapat Lingam dengan tokoh korporat Tan Sri Vincent Tan, Jayanthi berkata tiada komunikasi langsung antara kedua-duanya.

Katanya tiada alat interkom dalam bilik Lingam di pejabat peguam itu yang dihubungkan secara langsung dengan pejabat Tan.

Bagaimanapun, peguam Pradeep Kumar yang mewakili Tan membantah soalan tersebut.

Haidar mencelah: "Ini untuk menunjukkan hubungan rapat yang ingin ditunjukkan oleh Shafee," dan disambut gelak ketawa hadirin.