Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 yang berakhir telah menyaksikan kemenangan cemerlang blok Barisan Nasional (BN). Kesannya telah melepasi sempadan negeri, malah mencorakkan persaingan sengit dan menggugat keseimbangan kuasa di peringkat politik nasional.
Dominasi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri bukan sekadar membuktikan Johor kekal sebagai pangkalan tradisi Umno, malah memberi petunjuk awal bahawa parti itu sedang merencana strategi dan menyusun semula ketumbukan politik untuk jangka masa panjang – khususnya menghadapi PRU16.
Jika diteliti secara menyeluruh, Johor kelihatan sebagai titik permulaan dan pengukuh kepada suatu gerakan politik yang boleh dianggap sebagai ‘serangan dari selatan.’
Serangan dari selatan tidak merujuk kepada perang atau konfrontasi secara terbuka antara PH dengan BN, memandangkan keduanya merupakan rakan kongsi dalam kerajaan campuran di peringkat federal.
Sebaliknya, istilah yang digambarkan penulis ialah proses peluasan pengaruh secara berperingkat BN yang bermula di negeri-negeri Selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka) sebelum dizahirkan kepada peningkatan graf sokongan undi untuk BN. Dalam hubungan ini, Johor menjadi pelantar pertama yang memperlihatkan strategi PRN yang berlangsung di negeri tesebut.

Memanggil PRN lebih awal di Johor, selain menarik sokongan terhadap Menteri Besar di Negeri Sembilan oleh BN telah mencetuskan kejutan di luar jangkaan kepada PH.
Antara indikator lain yang menguntungkan BN (khususnya Umno) ialah keupayaannya memanfaatkan situasi dan kedudukan sebagai parti kerajaan tanpa perlu memikul sepenuhnya beban politik yang digalas sepenuhnya oleh PH, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam kebanyakan isu yang menyentuh sentimen Melayu, PH sering dijadikan sasaran kritikan dari dalam dan luar, manakala BN sejak akhir-akhir ini menampakkan dirinya sebagai parti yang mempertahankan kepentingan Melayu.
Peranan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, yang juga menjadi ‘tukang pukul’ sering mencetuskan kegemparan yang meletakkan PH dan DAP dalam keadaan defensif, dilema dan tertekan, sementara kepimpinan BN di peringkat federal terus mengekalkan hubungan koloborasi mereka, sambil berjaya mengelakkan banyak sasaran serangan, sebaliknya tekanan bertali arus lebih tertumpu kepada PH.

Dari segi percaturan, pendekatan ini menyerupai pedang bermata dua. Dari satu sisi, BN kekal meraih akses kepada kuasa dan sumber melalui kerajaan campuran disertainya. Dari satu sisi pula, parti itu kini terus mengekalkan identiti politiknya dengan membezakan dirinya daripada PH dalam isu-isu sensitif yang menyangkut perihal pengundi Melayu.
Secara tidak langsung, BN berkemampuan muncul sebagai watak protagonis (pelindung Melayu) dalam sebahagian besar wacana politik Melayu, sedangkan PH seringkali dibingkaikan sebagai parti yang antagonistik (pencabar status quo Melayu).
Kemenangan besar BN di Johor menunjukkan bahawa strategi menyerang dari selatan bukan hanya berkesan di peringkat negeri, malah dijangka merebak ke PRN di Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya mencetuskan gelombang biru di seluruh Malaysia untuk PRU – seperti yang disebutkan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media sejurus sahaja kemenangan bergaya parti gabungannya.
Pada masa sama, strategi PAS-PN memindahkan sokongan undi (transfer vote) mereka secara taktikal kepada BN dalam PRN Johor bagi membendung pengaruh PH telah menyumbang sedikit sebanyak kepada peningkatan undi popular. BN mencatatkan hampir 60 peratus atau 1,118,559 daripada 1,874,918 jumlah keseluruhan undi.

Apa yang menjadikan kemenangan itu lebih siginifikan ialah pandangan yang mengatakan ia merupakan titik kebangkitan semula BN, ketika PH sedang berada pada titik yang paling rendah. Perpecahan dalaman PKR beberapa bulan lalu yang mencetuskan penubuhan Parti Bersama oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli terus menggugat sokongan PH.
PH juga berhadapan tentangan daripada PN-PAS yang terus mendominasi sebahagian besar sentimen anti-PH dan DAP dalam kalangan pengundi Melayu, bahkan PH berdepan saingan daripada rakan sekutunya sendiri, yang sepatutnya PH dan BN saling membina kepercayaan, persekitaran yang stabil dan harmoni dalam kerajaan, bukannya berkonflik.
Nampak agak luar dari kebiasaan, apabila parti yang berkongsi kuasa di Putrajaya kini dipandang sebagai pencabar paling berisiko kepada kelangsungan PH. Bahkan Anwar dikritik kerana tidak mampu menjinakkan BN dan seolah-olah membiarkan PH dibelasah lumat. Serangan kepada PH dianggap datang dari kiri kanan atas dan bawah ketika kempen di Johor.

BN pula dikatakan sedang menerokai kerjasama baru dengan PAS-PN, meskipun dinafikan hal berkenaan oleh Zahid Hamidi. Beliau menjelaskan perbincangan yang wujud sekadar persefahaman isu tertentu dan bukannya perjanjian secara rasmi.
Namun, penafian tersebut tidak menamatkan spekulasi bahawa ia merupakan tipu muslihat dan strategi politik untuk mengekalkan fleksibiliti BN dalam mengukuhkan sokongan dalam pilihan raya di tiga negeri selatan itu. Selatan mungkin dijadikan projek dan kubu pertahanan strategik untuk BN dalam perkembangan politik yang sedang berlaku.
Dalam pada itu, BN tidak menggunakan pendekatan yang terlalu agresif dan tidak menyerang sepanjang masa dalam kempen dan ucapan pemimpin utamanya di Johor. Sebaliknya parti itu digambarkan berjaya memanfaatkan keadaan ‘cuaca’ politik negara yang tidak menentu.
Naratif anti-DAP yang begitu meluas mencetuskan kelebihan secara tidak langsung kepada kempen BN. Di saat PH dilihat berkempen secara agresif dan menjadikan PRN Johor seakan-akan sebuah pilihan raya umum serta BN digambarkan sebagai musuh utama, BN pula tampil dengan pendekatan yang lebih terkawal.

Jika ada pun sebarang kritikan dan serangan BN, ia ditujukan secara terpilih dengan kadar yang minimal, tidak dilontarkan secara terbuka atau menyebut secara spesifik nama-nama tokoh tertentu sehingga mencetuskan kontroversi yang meluas. Berbeza dengan pendekatan kempen PH yang pemimpin utamanya secara langsung menyerang secara terang-terangan dan mengkhususkan lawannya BN tanpa perlu berselindung.
Dari satu aspek, Zahid tidak diberi ‘perhatian secara berlebihan’ atau menonjolkannya sebagai jeneral perang oleh pasukan kempen BN. Sebaliknya BN meletakkan calon Menteri Besar mereka Onn Hafiz Ghazi sebagai aktor utama yang membawa imej ‘pemimpin dan pentadbir di peringkat negeri.’
Walaupun Zahid masih berperanan penting dalam perencanaan strategi BN, kehadirannya tidak terlalu mendominasi kempen sebagaimana peranan terlalu besar yang ditonjolkan oleh Anwar dalam kempen PH dengan membuat kenyataan gempar yang dianggap mencipta collateral damage.

Kebergantungan yang berlebihan kepada Anwar sebagai jeneral perang dalam setiap pertempuran politik ketika memasuki pelusuk negeri Johor telah menimbulkan persoalan kekuatan jentera kempen PH khususnya PKR. Dimanakah pemimpin generasi baru PKR dan PH untuk menjadi pencabar sengit kepada tokoh muda dan pertengahan BN, khususnya dari Angkatan Muda Keadilan (AMK)?
BN memiliki Onn Hafiz di Johor, Khairy Jamaluddin di Negeri Sembilan dan Akmal Saleh serta Noor Helmy di Melaka yang dikira pertaruhan strategik untuk manarik pengundi muda dan gen z yang berorientasikan pengguna utama media sosial dalam era komunikasi politik digital.
Sebelum memasuki PRN lagi, Umno lebih awal telah merencana gagasan Rumah Bangsa yang memberi perhatian khusus kepada pengukuhan semula sokongan, menerima semula tokoh yang meninggalkan Umno dengan strategi memperbanyakkan rakan politik dan mengurangkan permusuhan. Kenyataan ini turut diperkuatkan dengan kembalinya beberapa tokoh berpengaruh ke dalam lingkaran Umno dan BN, termasuk Hishamuddin Hussein, Hasni Mohammad dan Khairy Jamaluddin.

Perkembangan ini membawa gambaran positif yang BN berusaha menyatukan semula kekuatan dalaman parti mereka, sekali gus menaikkan keyakinan di mata pengundi terhadap kestabilan BN menjelang PRN Johor ketika itu.
Atas faktor itu, kemenangan BN di Johor baru-baru ini perlu dibaca dalam kanta yang lebih besar. Pendekatan di negeri Johor ini bukan hanya satu-satunya strategi yang dirangka BN. Perhatian kini mula beralih kepada Negeri Sembilan dan Melaka.
Sekiranya BN berterusan mencetuskan gelombang kemenangan di kedua-dua negeri selatan itu, impak politiknya akan jauh lebih berganda daripada sekadar menyaksikan pertambahan kerusi, malah sasaran menguasai jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan dapat direalisasikan.
Sejarah politik Malaysia memaparkan gelombang perubahan sering bermula daripada negeri tertentu. Pastinya masih ramai mengingati bagaimana krisis politik di Melaka pada tahun 2021 dan kemenangan besar BN di Johor pada PRN 2022 menjadi pendorong kepada perubahan yang akhirnya membawa kepada pembubaran Parlimen yang diimpikan BN. Sebelum itu juga Muhyiddin Yassin telah digulingkan oleh BN secara sistematik, walaupun dianggap popular ketika negara menangani ancaman wabak Covid-19.

Anwar perlu belajar daripada sejarah kejatuhan Muhyiddin yang ketika itu BN juga bersamanya dalam membentuk kerajaan.
Pada ketika itu juga, kebanyakan melihat peristiwa tersebut sebagai isu politik peringkat negeri semata-mata. Walau bagaimanapun, beberapa bulan kemudian dampaknya dirasai seluruh Malaysia dengan modus operandi BN yang cenderung mengadakan PRN dan PRU ketika negara masih dalam krisis. Bukan mustahil situasi yang berlaku di negeri-negeri Selatan ketika ini akan menghasilkan kesan rantaian yang serupa.
Tanggapan popular bahawa BN sedang ‘terbang tinggi’ semula selepas beberapa tahun kemerosotannya, sementara PH semakin dilihat melemah akan menjadi semakin sukar untuk dipatahkan. Dalam politik, persepsi atau tanggapan biasanya sering mencipta realiti yang berbeza.
Keputusan PRN Johor tidak boleh lagi dilihat sebagai penutup sebuah pilihan raya negeri. Ia satu kemungkinan kepada permulaan kepada ‘projek’ yang lebih besar untuk BN. Ketika ini serangan dari selatan telah pun bermula. Persoalan yang sedang menyelubungi awam ketika ini sejauh mana ia akan merebak? PH tidak mempunyai waktu ketika gabungan itu masih dalam keadaan terumbang-ambing selepas kekalahan di Johor.
Lebih-lebih lagi tugas PH dan Anwar menahan kesan domino sebelum gelombang biru sampai menggegarkan ke Putrajaya untuk PRU diawalkan.
MOHD AZIZI JAEH dan MUHAMMAD HELMI OTHMAN merupakan pemerhati politik dan lulusan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
