Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mendakwa kewujudan "pengkhianat dan penderhaka" terhadap sistem raja berperlembagaan di Negeri Sembilan.
Dakwanya, pihak berkenaan pernah menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan cuba menjatuhkan kerajaan negeri ketika kemelut politik dan adat melanda negeri itu.
Loke tidak menamakan parti atau individu yang dimaksudkannya, tetapi berkata semua pihak dalam kerajaan negeri sepatutnya bekerjasama untuk menyelesaikan kemelut tersebut.
“Saya tak ada masalah menerima kepimpinan Melayu di Negeri Sembilan, kita menyokong menteri besar Melayu, tetapi menteri besar Melayu yang sejahtera macam Tok Min (Aminuddin), ini menteri besar yang kita sokong, bukan orang yang akan tikam belakang kita.

“Bukan ada orang yang apabila ada krisis melanda negeri kita, sepatutnya kita bersatu, sepatutnya bekerjasama, bermuafakat untuk menyelesaikan keadaan di Negeri Sembilan, tetapi mereka memilih peluang krisis itu untuk menikam kita dari belakang, menarik sokongan daripada Tok Min dan cuba jatuhkan kerajaan perpaduan Negeri Sembilan.
“Orang itu adalah pengkhianat dan penderhaka kepada sistem raja berperlembagaan di Negeri Sembilan. Kalau orang itu nak jadi calon menteri besar, kita lawan habus-habisan.
“Tak payah siapa sebut nama siapa orang itu,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon PH bagi PRN Negeri Sembilan di Kuala Pilah malam tadi.
Pada 27 April, kesemua 14 Adun Umno-BN mengumumkan penarikan sokongan terhadap Aminuddin dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya. Bagaimanapun, pada 30 April, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kesemua Adun terbabit bersetuju meneruskan sokongan kepada kerajaan perpaduan negeri demi kestabilan politik.

Umno Negeri Sembilan kemudian menegaskan akan terus menyokong pentadbiran kerajaan negeri di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan namun pada masa sama mengekalkan pendirian hilang kepercayaan terhadap menteri besarnya.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Mustapha Nagoor pada 6 Mei pula menjelaskan pihaknya hilang kepercayaan kepada menteri besar kerana "kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan UndangUndang Tubuh Negeri Sembilan."
Mustapha berharap krisis berkaitan kepimpinan adat di negeri itu dapat diselesaikan secara harmoni mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan tatacara adat yang sebenar.
DUN negeri itu dibubarkan pada 5 Jun lalu manakala SPR menetapkan hari mengundi pada 1 Ogos.

PRN itu berlangsung selepas kemelut politik dan adat yang melibatkan pertikaian takhta institusi diraja serta Undang Yang Empat di negeri berkenaan.
Sementara itu, Loke yang juga menteri pengangkutan mengingatkan pemimpin dan petugas PH supaya tidak menyentuh sensitiviti adat sepanjang kempen PRN.
Mohon maaf pada Yamtuan Besar
Dia turut menegaskan DAP menjunjung sistem raja berperlembagaan dan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
“Saya nak bagi peringatan kepada rakan-rakan, kepada petugas-petugas, kepada ahli-ahli jangan berseloroh, jangan berjenaka berkenaan dengan sistem adat Negeri Sembilan, ini sesuatu yang saya tak akan terima, saya tak akan maafkan.
“Kalau mana-mana ahli kita yang tersasul, kita mohon maaf kepada Yang Dipertuan Besar, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin,” katanya.
