Dua lelaki direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes disyaki memalsukan dokumen dan menyalahgunakan identiti rasmi Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata perintah reman terhadap ahli perniagaan dan pembantu peribadinya yang masing-masing berusia 45 tahun itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman di Kuantan.
"Dua lelaki tersebut ditahan di sebuah rumah di Cyberjaya kira-kira 11 pagi semalam bagi membantu siasatan. Kes itu disiasat susulan laporan polis yang dibuat pada 10 Julai oleh Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah atas titah baginda," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata laporan berkenaan dibuat selepas pihak Istana Pahang mengesan beberapa dokumen dipercayai palsu yang menggunakan Jata Diraja Tengku Mahkota Pahang, kepala surat Unit Tengku Mahkota Pahang serta nama dan tandatangannya tanpa kebenaran.
“Antara dokumen yang disyaki dipalsukan ialah surat tawaran, surat pelantikan dan surat sokongan berkaitan pelantikan pengurusan tanah di Pahang yang kononnya dikeluarkan atas perkenan Tengku Mahkota Pahang,” katanya.

Azry Akmar berkata siasatan awal mendapati dokumen berkenaan ditunjukkan kepada Tengku Hassanal pada 8 Julai oleh seorang individu yang memaklumkan ia diterima daripada seorang lelaki bergelar “Datuk”.
"Hasil semakan mendapati semua dokumen terbabit bukan dikeluarkan secara rasmi oleh Unit Tengku Mahkota Pahang, selain nama dan tandatangan Setiausaha Sulit baginda turut digunakan tanpa kebenaran," katanya.
Beliau berkata Tengku Mahkota Pahang turut mengarahkan supaya laporan polis dibuat dan siasatan disegerakan kerana ia melibatkan penyalahgunaan identiti rasmi Institusi Diraja Negeri Pahang yang boleh menjejaskan kewibawaannya.
Kes disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
- Bernama
