Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inkues Zara Qairina: Mahkamah tidak benarkan saksi terus beri pendapat pakar

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan Dr Noor Aishah Rosli, 51, tidak dibenarkan meneruskan mengemukakan keterangannya dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Koroner Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan berkenaan selepas menerima hujahan bertulis dan lisan daripada semua pihak berkepentingan susulan pertikaian berkaitan kelayakan Noor Aishah sebagai pakar psikologi kanak-kanak apabila beliau didapati tidak berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774).

Amir Shah berkata bantahan dikemukakan oleh Pegawai Pengendali Inkues Nahra Dollah diterima sebahagiannya.

“Dengan penuh hormat, tanpa menjejaskan kepakaran akademik atau empirikal beliau (Dr Noor Aishah), deponen 76 tidak dibenarkan untuk meneruskan memberikan pendapat pakar selanjutnya dalam inkues ini.

“Keterangan lisan dan dokumen yang telah dikemukakan oleh deponen 76, akan terus dikekalkan dalam rekod,” katanya ketika menyampaikan keputusan berhubung perkara berkenaan dalam prosiding itu.

Amir Shah berkata status ekshibit I-299, sama ada akan diterima sebagai pendapat pakar, hanya diterima sebagai keterangan fakta atau ditolak sepenuhnya serta pertimbangan terhadap berat keterangan yang dikemukakan beliau, adalah perkara yang akan diputuskan kemudian.

“Segala isu ini akan dipertimbangkan dalam analisis akhir dan seperti yang saya nyatakan sebelum ini, semua pihak akan diberi peluang mengemukakan hujahan lanjut selepas berdasarkan keseluruhan keterangan setelah inkues ini selesai,” katanya.

Semalam, mahkamah diberitahu bahawa Noor Aishah hanya berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor, namun mempunyai kelayakan akademik dan klinikal dalam bidang psikologi klinikal kanak-kanak yang digunakan bagi menyediakan laporan autopsi psikologi Zara Qairina.

Perkara berkenaan dibangkitkan Nahra dengan memaklumkan tiada bukti menunjukkan Noor Aishah berdaftar sebagai pakar psikologi klinikal kanak-kanak, sebaliknya hanya berdaftar sebagai kaunselor.

Nahra berkata mana-mana individu yang menggunakan gelaran pakar psikologi klinikal kanak-kanak perlu berdaftar di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774) selain menjelaskan penggunaan gelaran psikologis klinikal kanak-kanak tanpa pendaftaran di bawah akta terbabit adalah suatu kesalahan.

Terdahulu, pada prosiding berkenaan, semua pihak berkepentingan mengemukakan hujahan lisan kira-kira sejam di hadapan Amir Shah berhubung status dan kelayakan Noor Aishah selaku saksi pakar dalam inkues itu.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.

Prosiding inkues bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS