Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaharudin nukil kisah 3 lembu jelaskan situasi politik semasa
Diterbitkan:  Jul 16, 2026 9:39 AM
Dikemaskini: 1:39 AM

Seorang pemimpin pertengahan PAS hari ini memberikan peringatan terhadap perkembangan semasa politik melalui nukilan kisah tiga ekor lembu dan seekor singa serta sepotong pepatah Arab.

Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, berkata dia mempelajari pepatah berkenaan semasa belajar di Damsyik, Syria puluhan tahun lalu.

Katanya, terjemahan pepatah tersebut berbunyi “aku telah dimakan pada hari lembu putih dimakan” menceritakan bagaimana sebuah kesatuan boleh musnah melalui helah musuh serta taktik pecah dan perintah.

Menjelaskan kisah di sebalik pepatah itu, Zaharudin yang pernah menjadi anggota kanan Majlis Syura Ulama PAS Pusat berkata, ia melibatkan tiga lembu – masing-masing berwarna putih, merah dan hitam – yang sedang mendepani ancaman seekor singa buas.

Setiap kali cuba diserang, katanya, tiga lembu itu bersatu mempertahankan diri masing-masing sehingga singa ganas tersebut berputih mata.

Keadaan itu berterusan sehinggalah singa berkenaan mendapat ilham dan menyedari bahawa masalah dihadapinya bukanlah tentang isu kuat atau lemah, tetapi persefahaman antara lembu berkenaan.

Cerita Zaharudin, singa itu mengadakan pertemuan dengan lembu merah dan hitam lalu membisikkan kepada mereka bahawa keberadaan lembu putih adalah menonjol sehingga semua lembu terdedah kepada risiko, termasuk ditembak pemburu.

Hasutan tersebut, kata Zaharudin, diterima lembu merah dan hitam lalu mereka pun membiarkan lembu putih bersendirian ketika haiwan itu diterkam singa sambil menganggap kedudukan mereka sudah selamat.

Bermula jauh lebih awal

Selepas suatu ketika, kata menantu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang itu lagi, singa datang lagi bersama janji dan memujuk salah seekor lembu itu agar membiarkan rakannya dimakan pula.

“Akhirnya tinggal seekor lembu sahaja. Sekarang tiada lagi kawanan. Tiada lagi sahabat. Tiada lagi sesiapa untuk mempertahankannya.

“Singa datang. Lembu terakhir tahu dia tidak mungkin mampu melawan sendirian dan dia pasti dimakan singa waktu itu.

“Ketika itulah dia sedar. Kesilapannya bukan berlaku pada hari dia akan dimakan. Kekalahannya tidak bermula ketika singa datang untuk menerkamnya.

“Kekalahannya bermula jauh lebih awal, iaitu sewaktu dia membiarkan lembu putih diserang dan dimakan oleh singa,” katanya.

Hantaran Zaharudin itu hadir ketika hubungan Bersatu dan PAS kekal keruh malah tidak menunjukkan sebarang tanda akan berubah di sebalik situasi semasa yang memerlukan parti terbabit menyertai PRN Negeri Sembilan.

Ketika PAS – yang kini menguasai PN – secara terbuka menyatakan sokongan kepada Umno-BN, Bersatu pula kekal ditampilkan tersisih apabila didakwa tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan.

Bersatu juga malam tadi mengumumkan keputusan mereka untuk menggunakan logo sendiri di Negeri Sembilan selepas kecewa PAS didakwa menangguhkan mesyuarat jawatankuasa rundingan pembahagian kerusi dalam PN.

Ketua Penerangan PN, Annuar Musa, pula hari ini mendakwa Bersatu menuntut diberikan 15 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.

Orang bijak akan faham

Zaharudin – yang konsisten dilihat selalu kepada Bersatu dalam konflik dalaman PN – menambah pada hari seseorang membiarkan sahabatnya dizalimi, pada detik itulah mereka membenarkan kehancuran bermula.

Katanya, kadang-kadang manusia menyangka dia masih selamat kerana musibah sedang menimpa orang lain dan bukan diri mereka sendiri, lalu berdiam diri.

“Lebih buruk, kadang-kadang kita membantu pihak yang menzalimi orang lain kerana kita dijanjikan keselamatan.

“Kita lupa satu perkara. Apabila benteng pertama runtuh, benteng kedua menjadi lebih mudah diserang. Apabila benteng kedua runtuh, tinggallah kita seorang diri,” katanya.

Dia juga menambah, seseorang yang bijak pasti memahami bahawa kehancuran tidak semestinya bermula pada hari mereka jatuh.

“Kadang-kadang ia bermula pada hari kita diam melihat sahabat kita dijatuhkan.

“Kadang-kadang ia bermula pada hari kita berkata: ‘Bukan aku yang kena’ dan apabila tiba giliran kita, semuanya sudah terlambat,” katanya yang turut berjanji menjelaskan siapa yang menjadi lembu putih dan hitam selepas ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS