Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Minyak masak: PAC gesa tukar subsidi pukal kepada subsidi bersasar

PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan kerajaan mempercepatkan peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar secara digital sepenuhnya melalui sistem eCOSS bagi memastikan bantuan hanya dinikmati warganegara yang layak serta mengelakkan ketirisan.

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata syor tersebut perlu dilaksanakan susulan mekanisme agihan sedia ada didakwa gagal memastikan subsidi minyak masak benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

Menurutnya, kerajaan membelanjakan RM10.879 bilion bagi subsidi minyak masak bagi tempoh 2019 hingga Februari 2025, namun ketiadaan mekanisme pengagihan bersasar menyebabkan minyak masak paket satu kilogram disalah guna oleh pihak yang tidak layak, termasuk warga asing dan pengusaha sektor komersial.

“Dasar sedia ada gagal memastikan agihan minyak masak bersubsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Masih berlaku pelanggaran syarat jualan melibatkan pembelian melebihi had transaksi serta melebihi harga kawalan,” katanya.

Mas Ermieyati Samsudin

Bercakap dalam sidang media di parlimen selepas penyata PAC dibentangkan, Mas Ermieyati berkata PAC juga turut mengesyorkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyemak semula keseluruhan rantaian bekalan minyak masak serta mengurangkan kuota Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) daripada 60,000 metrik tan sebulan.

Tindakan itu, katanya, supaya selari dengan keperluan domestik sebenar yang dianggarkan antara 19,000 hingga 30,000 metrik tan sebulan.

Selain itu, PAC mengesyorkan kadar subsidi RM600 bagi setiap metrik tan kepada syarikat pembungkus disemak semula agar lebih munasabah dan selaras dengan kos operasi semasa.

Jawatankuasa itu juga mahu kerajaan menetapkan supaya subsidi hanya dibayar bagi stok minyak masak yang tidak rosak selepas mendapati ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan kerajaan masih menanggung subsidi ke atas stok rosak yang tidak akan sampai kepada pengguna.

Dalam laporan sama, Mas Ermieyati berkata PAC turut mengesyorkan kerajaan mengkaji kewajaran mengapungkan harga minyak masak di pasaran terbuka.

PAC mengambil contoh model pengapungan harga ayam dan telur bagi menjamin kestabilan bekalan, mengurangkan perbelanjaan subsidi dan merangsang persaingan harga yang lebih sihat.

PAC turut membangkitkan isu penguasaan pasaran minyak masak bersubsidi di peringkat penapisan apabila 67 peratus kuota dikuasai syarikat asing, manakala syarikat berkaitan kerajaan tempatan seperti FGV dan SD Guthrie hanya menguasai sekitar 10.6 peratus.

Sehubungan itu, katanya jawatankuasa PAC juga menggesa kerajaan mengkaji semula agihan kuota penapisan dengan memberi keutamaan kepada syarikat tempatan yang berdaya saing.

Laporan PAC itu merupakan susulan kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang mendapati pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak kurang memuaskan, termasuk kegagalan memastikan subsidi sampai kepada golongan sasar, pelanggaran syarat jualan, kelemahan pengurusan stok minyak masak rosak serta isu pematuhan pensijilan halal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS