PN tegas menyanggah dakwaan Bersatu yang mendakwa parti gabungan berkenaan melakukan perbincangan dengan BN secara salah.
Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini menjelaskan semua proses yang berlangsung dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal dibuat dengan pengetahuannya.
Selain itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden PAS menegaskan, ia dibuat dengan keberanannya selaku pemimpin tertinggi PN.
“Dan ia telah pun dimuktamadkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) PN pada mesyuarat hari ini,” katanya dalam kenyataan media.
Semalam Muhyiddin mendakwa Bersatu diketepikan daripada proses berhubung dengan BN sebagai persediaan menghadapi PRN Negeri Sembilan, selain ia dibuat tanpa mendapat mandat daripada MT PN.
Perselisihan itu membawa kepada pendirian Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri dalam PRN Negeri Sembilan tidak lama lagi.
Sementara itu Ahmad Samsuri berkata mesyuarat MT PN hari ini memutuskan kerusi di Negeri Sembilan akan diagihkan sesama parti komponen gabungan tersebut iaitu PAS, Wawasan, Gerakan, dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Katanya, PN bersetuju membenarkan penggunaan lambang parti gabungan tersebut oleh calon-calon mereka.
“Bagi tujuan PRN Negeri Sembilan, penyertaan sejumlah calon PN – yang akan diumumkan hari ini – adalah bagi membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sembilan khususnya, dan Malaysia amnya,” kata Ahmad Samsuri.
